LEE Chong Wei meraikan kemenangan
menewaskan Tommy Sugiarto 21-6, 21-9 pada suku akhir Kejohanan Dunia
di Gimnasium Tianhe, semalam. - BERNAMA
Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
GUANGZHOU - Misi Datuk Lee Chong Wei untuk
bergelar juara dunia buat kali pertama berada di landasan sempurna
selepas melangkah ke separuh akhir semalam, namun kelibat Lin Dan terus
menghambat jaguh No. 1 dunia itu apabila turut meraih tiket ke peringkat
empat terbaik.
Jika Chong Wei mara tanpa banyak masalah apabila mudah menyingkirkan
pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto 21-6, 21-9, Lin Dan pula
menumpaskan rakan senegara yang dianggap pemain terbaik China ketika
ini, Chen Long 21-13, 22-20.
Kemenangan ke atas pemain No. 2 dunia itu membuktikan betapa Lin Dan,
pemilik dua pingat emas Olimpik dan juara dunia empat kali masih
memiliki standard permainan yang tinggi, biarpun hanya membuat
kepulangan kompetitif pertamanya selepas hampir setahun berehat.
Chong Wei dan Lin Dan kini menjadi tumpuan peminat badminton untuk
berentap sekali lagi dalam final merebut kejuaraan utama, namun sebelum
itu mereka harus terlebih dulu mengetepikan lawan masing-masing pada
separuh akhir hari ini.
Pada ketika Chong Wei perlu menyingkirkan bintang muda China dan
pemain No. 3 dunia, Du Pengyu, laluan Lin Dan pula lebih baik dengan
pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh bakal menanti.
"Memang hari ini permainan saya lebih baik berbanding perlawanan
pertama dan kedua, tetapi Tommy juga tidaklah memberi tentangan yang
bagus dan saya fikir perlawanan esok (hari ini) menentang Du Pengyu
tidak mungkin semudah ini.
"Saya menjangkakan pertarungan yang lebih sengit dengan Pengyu, tidak
seperti ketika menewaskan rakan senegaranya, Wang Zhengming di pusingan
ketiga semalam (kelmarin) atau ketika bertemu Tommy," kata Chong Wei,
yang memegang rekod 7-1 ke atas Pengyu.
Tambah Chong Wei lagi, walaupun dia pernah kalah sekali kepada pemain
berusia 25 tahun itu pada kejohanan Siri Super Masters Akhir tahun
lalu, namun keadaannya ketika itu tidak cukup bagus dan dia beraksi
bersama kecederaan.
Begitupun dalam pertemuan terakhir menentang Pengyu, Chong Wei menang mudah 21-12, 21-15 pada Terbuka Korea, Januari lalu.
Sementara itu, permainan Lin Dan dalam empat perlawanan pertemuannya
di Guangzhou tidak lagi seagresif seperti ketika dia merangkul empat
gelaran dunia dan dua emas Olimpik, namun bekas jaguh No. 1 dunia itu
tampil bersama gaya berbeza yang harus diberi perhatian oleh Chong Wei.
Tiada permainan menyerang atau smash kencang mewarnai pertarungan Lin
Dan-Chen Long, sebaliknya Lin Dan dilihat lebih banyak menggunakan
pengalaman untuk melakukan pukulan yang mengelirukan ketika menumpaskan
rakan senegara itu.
Ketika ditanya, apakah rahsia yang membolehkan dia menumpaskan Chen
Long, Lin Dan cuma berkata: "Biasanya saya lebih gemuruh jika bertemu
pemain dari negara lain, tetapi kalau berjumpa rakan senegara sendiri,
saya lebih selesa kerana kami sudah biasa dengan permainan satu sama
lain."
Dalam perlawanan terdahulu, Pengyu hampir dikejutkan oleh pemain
India, Kashyap Parupalli sebelum menang 16-21, 22-20, 21-15, manakala
Tien Minh pula melangkah ke separuh akhir dengan menyingkirkan Jan O
Jorgensen dari Denmark 21-8, 17-21, 22-20.
Pemain remaja India, P.V Sindhu pula terus mencuri tumpuan di
Gimnasium Tianhe apabila mengejutkan pemain No. 8 dunia, Wang Shixian
21-18, 21-17 dalam suku akhir perseorangan wanita.
Ini adalah kali kedua berturut-turut pemain berusia 18 tahun itu
mengecewakan bintang tuan rumah selepas mengejutkan penyandang juara
dunia, Wang Yihan di pusingan ketiga kelmarin. - UTUSAn
Tiada ulasan:
Catat Ulasan