Sabtu, 10 Ogos 2013

Ronaldo nafi persenda Mourinho


GAYA Ronaldo ketika meraikan jaringannya pada pertemuan menentang Chelsea dalam aksi final Trofi Juara-Juara Antarabangsa di Miami kelmarin.


LONDON - Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menafikan bahawa caranya meraikan jaringan ketika membantu Real Madrid membenam Chelsea 3-1 awal pagi kelmarin ditujukan khas kepada bekas jurulatihnya, Jose Mourinho.

Ronaldo menjelaskan, tiada persengketaan antara dia dengan Mourinho meskipun pengurus The Blues itu memberi komen negatif mengenai dirinya ketika dibandingkan dengan bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

"Saya lebih suka membuktikan kata-kata saya di tengah padang. Apa yang berlaku di luar padang sama sekali tidak menjejaskan saya atau memberi kesan negatif kepada saya," jelas Ronaldo.

"Misi saya ialah membantu Real mencapai objektif yang telah ditetapkan dan apa yang berlaku selain daripada itu, langsung tidak menyakiti hati saya."

Pada aksi final Trofi Juara-Juara Antarabangsa di Miami kelmarin, Ronaldo meledak dua gol dan gayanya ketika meraikan jaringan tersebut dilihat seperti mempersendakan Mourinho yang terkenal dengan gelaran The Special One.

Mourinho pula cuba mengelak daripada menghangatkan lagi isu itu ketika sidang akhbar selepas perlawanan dengan berkata: "Saya tidak tahu apa yang Ronaldo katakan, ia bukan masalah saya. Saya telah cuba memberi yang terbaik untuk Chelsea.

"Apa yang saya beritahu sebelum ini mengenai Ronaldo (bekas penyerang Brazil) itu adalah kerana dia adalah Ronaldo yang pertama.

"Kalau kamu (pihak media) tanya saya siapa Mueller yang lebih hebat, Thomas atau Gerd, saya akan kata Gerd.

"Bagi saya siapa yang datang dahulu dia adalah pemain pertama. 

"Ini adalah wayang yang dicetuskan oleh Real kerana kelab itu memang suka bersandiwara," tambah Mourinho lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan