RUDI VOELLER 
SPEKULASI berhubung calon pengganti Datuk K. Rajagobal bertambah 
hangat apabila nama legenda Jerman, Rudi Voeller disebut-sebut sebagai 
prospek terkini pengendali Harimau Malaya.
Difahamkan, bekas jurulatih Jerman berusia 53 tahun itu bakal 
memainkan peranan yang lebih besar buat Harimau Malaya bagi mengharungi 
kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Rusia jika benar beliau mengambil 
alih tempat Rajagobal yang kontraknya bakal tamat pada 31 Disember 
depan.
Sumber memberitahu Kosmo!, Mueller juga dilihat calon sesuai membantu
 Harimau Malaya pada kempen Piala Asia di Australia pada 2015 jika skuad
 kendalian Rajagobal berjaya melepasi kempen kelayakan kali ini.
Ketika diminta mengulas mengenai spekulasi tersebut, pengkritik bola 
sepak, Zakaria Ab. Rahim mengalu-alukan kehadiran Mueller bagi menerajui
 skuad kebangsaan selepas ini.
Bagaimanapun, Zakaria berkata, sasaran dan hala tuju Harimau Malaya 
perlu diperhalusi jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat 
melantik Mueller sebagai jurulatih.
“Tidak salah berbelanja lebih bagi mendapatkan Mueller sebagai 
jurulatih bagi memburu kejayaan yang lebih besar buat skuad Harimau 
Malaya.
“Bagi saya, tiada gunanya melantik jurulatih berprofil tinggi seperti
 beliau sekiranya sekadar mahu merampas kembali trofi Piala Suzuki 
AFF... lebih baik lantik jurulatih tempatan,” katanya kepada Kosmo! 
semalam.
Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
 tidak menolak kemungkinan memburu khidmat jurulatih baharu selepas 
kontrak Rajagobal tamat pada 31 Disember depan.
Pada masa sama, khidmat Rajagobal yang dilantik pada 20 April 2009 
juga berkemungkinan disambung jika berjaya melepasi Indeks Petunjuk 
Prestasi (KPI) yang ditetapkan FAM iaitu Harimau Malaya melepasi 
peringkat kelayakan kempen Piala Asia 2015.
Antara calon-calon yang disebut-sebut menduduki ‘kerusi panas’ itu 
selepas ini termasuklah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; 
jurulatih Sarawak, Robert Alberts; pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee
 dan juga bekas pengendali Harimau Malaya, B. Sathianathan.
Mengulas lanjut, Zakaria juga menyarankan skuad Harimau Muda A atau 
Harimau Muda B menggalas cabaran negara pada kempen kelayakan Piala 
Dunia 2018 jika dikendalikan Mueller.
“Persediaan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia perlu bermula awal, jadi ada baiknya ia membabitkan skuad muda negara.
“Selain itu, skuad negara juga wajar membuat persiapan di sana 
(Jerman) jika Mueller menjadi jurulatih sebagai pendedahan awal,” 
katanya.
Mueller yang pernah membimbing beberapa kelab terkemuka dunia seperti
 AS Roma dan Marseille ketika ini bertindak sebagai Pengarah Sukan kelab
 Jerman, Bayer Leverkusen sejak 2005.
Beliau pernah membantu The Team mara ke final Piala Dunia 2002 
sebelum meletak jawatan sebagai jurulatih ekoran kegagalan Jerman yang 
tersingkir awal pada kempen Euro 2004.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan