OZIL menandatangani kontrak selama empat tahun dengan Arsenal semalam. 
LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengotakan janjinya untuk 
menandatangani seorang pemain berkelas dunia apabila melengkapkan pemain
 tengah kreatif Real Madrid, Mesut Ozil ke Stadium Emirates semalam.
Ozil, 24, menandatangani kontrak selama empat tahun untuk mencatat 
rekod perpindahan tertinggi kelab iaitu berjumlah £42.5 juta (RM216.4 
juta).
Harga tersebut mengatasi jumlah £17.5 juta (RM89.2 juta) yang dibayar The Gunners ketika membeli Jose Antonio Reyes daripada Sevilla pada Januari 2004.
Ia juga merupakan rekod bayaran kedua tertinggi dalam saingan Liga 
Perdana England selepas dilakukan Chelsea ketika membeli Fernando Torres
 dari Liverpool dengan harga £50 juta (RM254.8 juta) pada 2011.
Selain itu, Ozil mengatasi rekod perpindahan tertinggi pemain Jerman 
milik Mario Gotze dari Bayern Munich yang berpindah dari Borussia 
Dortmund dengan harga 37 euro (RM159 juta), Julai lalu.
Arkitek Jerman itu juga muncul pemain yang menerima gaji paling 
tinggi di Stadium Emirates iaitu sekitar £140,000 (RM713,526) seminggu.
"Saya tidak sabar lagi untuk meneruskan masa depan saya bersama Arsenal.
"Ketika bercakap dengan Wenger, saya terus memperoleh sesuatu yang 
telah lama hilang dalam diri saya, iaitu kepercayaan yang diberikan 
terhadap saya.
"Saya akan membalas segala kepercayaan kelab dan peminat Arsenal 
dalam setiap perlawanan. Kini, saya hanya mahu membantu kelab itu 
menamatkan kemarau trofi mereka," kata Ozil.
Kehadiran Ozil memberikan sedikit kegembiraan kepada peminat-peminat skuad The Gunners selepas mereka gagal untuk mendapatkan Luis Suarez, Wayne Rooney, Karim Benzema dan Gonzalo Higuain.
"Ozil merupakan seorang pemain yang hebat dan memiliki kualiti di peringkat kelab serta antarabangsa.
"Kami telah lama meminatinya kerana dia mempunyai segala kriteria yang saya cari sebagai seorang pemain Arsenal.
"Saya telah beritahu bahawa kami sedang berusaha membawa seorang 
pemain berkualiti ke sini. Ozil seorang pemain berkelas dunia yang akan 
memperkuatkan lagi barisan pemain yang sedia ada.
"Kami tidak sabar untuk melihat dia menyertai kami sebaik sahaja 
selesai menjalani tugasan antarabangsa dengan Jerman minggu ini," kata 
Wenger. - Agensi
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan