MILAN, Lombardy _ Bintang penyerang Argentina, Carlos Tevez 
meledakkan gol keduanya dalam saingan Serie A ketika membantu penyandang
 juara, Juventus membenam Lazio 4-1 semalam, sekali gus mengekori rapat 
Napoli, yang masih meneraju liga bola sepak Itali dengan kemenangan 4-2 
ke atas Chievo.
Juventus meledak empat gol tanpa balas ke atas Lazio ketika mereka 
menjulang Piala Super Itali, dua minggu lalu, di mana Tevez menjaringkan
 gol pertamanya buat kelab Bianconeri itu.
Selepas turut membantu Juventus mengutip tiga mata penuh minggu lalu 
selepas menumpaskan Sampdoria 1-0, bintang Argentina itu mempamer aksi 
cemerlang buat tuan rumah dan berganding baik dengan Arturo Vidal. 
"Berjaya merobek gawang Lazio dengan empat gol sekali lagi, 
menandakan bahawa prestasi kami semakin baik dan baik. Kami menunjukkan 
persembahan cemerlang, baik dalam gerakan secara kolektif mahupun 
individu.
"Kami menunjukkan permainan yang sangat menakjubkan pada 25 minit 
pertama dan bermain mengikut perancangan yang dilakukan. Kami tidak 
bernasib baik kerana tidak memperoleh lebih banyak gol ketika mendahului
 2-0," kata pengendali Juventus, Antonio Conte.
Lazio memulakan saingan dengan nada positif apabila Hernanes mengutip
 bola yang tidak ditendang kemas oleh pertahanan Juventus, Andrea 
Barzagli untuk menguji penjaga gol, Gianluigi Buffon menerusi rembatan 
ke penjuru gawang. 
Begitupun selepas percubaan tersebut, Juventus mengambil alih 
penguasaan dan membuka jaringan menerusi Vidal seawal minit ke-14. 
Pemain Chile itu melakukan larian yang cantik selepas menerima hantaran 
Paul Pogba untuk menewaskan penjaga gol, Federico Marchetti. Hanya 12 
minit kemudian, dia menambah gol kedua tuan rumah apabila menghukum 
benteng pertahanan Lazio yang seakan tidur.
Lazio bagaimanapun berjaya merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-28 
menerusi pemain antarabangsa Jerman, Miroslav Klose yang melepaskan 
rembatan dari jarak 25 meter. Jaringan itu bagaimanapun tidak cukup 
untuk membangkitkan semangat pasukan pelawat.
Juventus sebaliknya bertambah garang sebaik babak kedua bermula 
dengan menambah dua lagi gol menerusi Mirko Vucinic pada minit ke-49, 
diikuti jaringan cantik Tevez, 10 minit sebelum tamat permainan. 
Dalam satu lagi perlawanan tumpuan, skuad bimbingan Rafael Benitez, 
Napoli mengekalkan kedudukan pendahulu Serie A selepas membawa pulang 
tiga mata dari Chievo hasil kemenangan 4-2. 
Bintang penyerang Slovakia, Marek Hamsik meledakkan dua gol buat 
pasukan pelawat pada minit ke-13 dan 64, manakala manakala dua lagi 
jaringan mereka diperoleh menerusi Jose Callejon di minit ke-27 dan 
Gonzalo Higuain pada minit ke-70. 
Biarpun penyerang tuan rumah, Alberto Paloschi turut mempamer aksi 
memberangsangkan dengan menyumbat dua gol, namun ia tidak dapat membantu
 mereka daripada kalah di depan penyokong sendiri. - AFP
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan