Memaparkan catatan dengan label Chua Boon Huat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Chua Boon Huat. Papar semua catatan

Isnin, 5 Ogos 2013

Moral Malaysia kembali melonjak



SKUAD hoki negara yang diketuai Revington (dua dari kiri) bertafakur seketika sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.


MORAL skuad hoki negara kembali berada pada tahap terbaik meskipun masih terkejut dengan kehilangan penyerang, Chua Boon Huat minggu lalu.

Jurulatih skuad negara, Paul Revington meluahkan kelegaannya dengan situasi terkini anak-anak buahnya ketika ini, sekali gus memudahkan tugasnya untuk menyenaraikan 16 pemain dalam skuad yang akan beraksi pada kempen Piala Asia di Ipoh, Perak penghujung bulan ini.

Menurut Revington, meskipun menempuh saat yang menyedihkan, barisan pemain negara telah berjanji untuk menjadikan kematian Boon Huat, 33, ekoran kemalangan jalan raya awal Khamis lalu, sebagai suntikan semangat untuk menjulang trofi berkenaan buat kali pertama.

“Tidak dinafikan lagi setiap pemain dalam skuad ini masih meratapi kehilangan Chua dalam diri masing-masing. Saya boleh melihatnya dari riak muka mereka sendiri,” jelas Revington.

“Chua seorang lelaki yang hebat dan apa yang kamu boleh lakukan sekarang ialah menyimpan kenangan bersamanya itu dalam memori kamu.

“Secara realitinya, pemain skuad ini telah berjanji untuk menunaikan impiannya sebelum ini iaitu membantu Malaysia menjuarai Piala Asia, sekali gus mara ke Piala Dunia tahun depan.”

Pada kempen di Ipoh yang bermula 24 Ogos hingga 1 September depan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun manakala Kumpulan B menyaksikan kelibat pasukan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman.

Revington yang hadir pada upacara persemadian Boon Huat bersama anak-anak buahnya di Melaka semalam, dijangka mengumumkan senarai 16 pemain bagi menghadapi kempen Piala Asia hari ini.
Sementara itu, kapten, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah memberi jaminan bahawa siapa yang terpilih menggalas cabaran negara pada Piala Asia 2013 nanti, bertekad untuk menjulang trofi berkenaan demi mengenang jasa Boon Huat.

“Sebelum ini dia (Boon Huat) pernah memberitahu bahawa dia benar-benar mahu melihat Malaysia mara ke Piala Dunia tahun depan.

“Jadi tidak kira siapa juga yang akan disenaraikan dalam skuad, kami telah bertekad untuk memenangi Piala Asia demi menunaikan hasratnya itu,” jelas Shahrun Nabil.

Skuad negara akan menjalani dua aksi persahabatan menentang India pada 20 Ogos dan Oman (22 Ogos) sebagai persiapan terakhir sebelum memberi fokus sepenuhnya dalam misi menjuarai Piala Asia buat kali pertama.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 2 Ogos 2013

Perginya permata hoki negara


Chua Boon Huat
 
PETALING JAYA - Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yakin skuad hoki negara tidak terjejas dengan fokus untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan dengan menjuarai Piala Asia, bulan ini sekalipun terasa kehilangan rakan sepasukan mendiang Chua Boon Huat, semalam.

Katanya, seluruh warga hoki negara akan sentiasa mengingati jasa mendiang yang mengumpul lebih 300 penampilan antarabangsa sejak menyarung jersi Malaysia yang meraih pingat perak Sukan Komanwel 1998, dan menyifatkannya kehilangan besar kepada sukan tanah air.

“Saya sempat bertanya kepadanya (pada majlis penyampaian insentif kecemerlangan skuad hoki negara, kelmarin) mengenai tahap kecergasan dan berat badannya dan dia menjawab dengan positif dan berkata, sudah bersedia (ke Piala Asia di Ipoh mulai 24 Ogos ini).

“Kita akan terasa kehilangannya. Jasanya tetap akan diingati semua namun saya harap tumpuan pasukan tidak terjejas dalam meneruskan perjuangan untuk layak ke pusingan akhir (Piala Dunia di The Hague, Belanda, tahun depan)," katanya di Pusat Perubatan Hospital Universiti Malaya di sini, semalam.

Boon Huat, 33, terbunuh dalam nahas jalan raya melibatkan kereta Proton Perdana yang dipandunya dengan sebuah lori di Kilometer 10.4, Lebuh Raya Damansara-Puchong dekat Stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi semalam.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Boon Huat, berkata, pemain itu akan sentiasa diingati sebagai tokoh teladan terbaik buat barisan pemain muda hoki apatah lagi dia merupakan satu-satunya pemain berketurunan Cina dalam skuad negara. 

“Sudah pasti sesuatu kaum itu bukanlah pengukur utama kejayaan sesebuah sukan tetapi kejayaan mendiang memasuki sebuah sukan yang dikuasai kaum tertentu apatah lagi sehingga ke peringkat antarabangsa, pastinya akan turut menjadi sumber inspirasi kepada barisan pemain baharu," katanya.

Kata ketua jurulatih negara, Paul Revington, mendiang Boon Huat merupakan pemain paling berdisiplin terutama selepas dipanggil semula menyertai skuad hoki kebangsaan di bawah kendaliannya bagi menghadapi Cabaran Juara-juara 1 di Argentina, tahun lalu.

Kata jurulatih warga Afrika Selatan ini, pemain kelahiran Melaka itu turut menunjukkan prestasi yang luar biasa biarpun selepas tiga tahun tersisih daripada skuad negara malah cukup membanggakannya setiap kali melihatnya melakukan persediaan di bilik persalinan. 

Revington berkata: “Dia tidak lokek memberikan tunjuk ajar kepada pemain yang lebih muda dalam pasukan negara. Dia seorang yang hebat dan saya percaya dia menyayangi setiap rakan sepasukannya." 

Jurulatih skuad wanita, Nasihin Nubli Ibrahim tidak menyangka mendiang yang pernah menjadi rakan sepasukannya dalam skuad negara, menunjukkan kelakuan yang agak asing kebelakangan ini dengan sering bercerita tentang kisah silamnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my