HAMIDIN menjawab pertanyaan pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. 
PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Persatuan Bola Sepak Sarawak
 (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) merupakan tiga 
daripada ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang masih 
belum secara rasmi mewujudkan Jawatankuasa Integriti di peringkat 
negeri.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak 
Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang memberitahu, ketiga-tiga 
persatuan tersebut telah diberikan tempoh seminggu bagi mewujudkan 
jawatankuasa tersebut.
“FAP diberi kelonggaran dalam menubuhkan jawatankuasa itu 
memandangkan mereka baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat agung bagi 
pemilihan ahli jawatankuasa yang baharu.
“Mereka sudah mempunyai kerangka kerja mengenai penubuhan jawatankuasa ini dan telah mengenal pasti calon-calon jawatankuasa.
“Sarawak dan Johor pula mengesahkan mereka sudah membentuk 
Jawatankuasa Integriti secara tidak rasmi, namun mereka meminta sedikit 
masa kepada FAM bagi memuktamadkan penubuhan jawatankuasa itu dalam 
tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan 
mesyuarat khas FAM bersama anggota gabungan yang dihadiri hampir 20 
Setiausaha Agung negeri dan kelab di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberikan 
amaran kepada setiap persatuan bola sepak (FA) negeri agar mewujudkan 
Jawatankuasa Integriti bagi menangani kes rasuah yang dipercayai berlaku
 dalam saingan arena bola sepak tempatan.
“Sebenarnya kita (FAM) telah menulis surat kepada setiap FA negeri 
berhubung perkara yang sama pada tahun lepas. Selain tiga daripada 16 
persatuan tersebut, mereka telah lama mewujudkan Jawatankuasa Integriti. 
“Dalam kes FAP, mereka dijangka mewujudkan jawatankuasa itu minggu depan.
“Dua lagi persatuan (FAS dan PBNJ), mereka akan mengambil tindakan 
cepat untuk menjadikan Jawatankuasa Integriti sebagai satu tugas yang 
rasmi.
“Mungkin status jawatan dua persatuan tersebut kita akan dapat tahu hari ini (semalam) atau esok (hari ini),” tambah Hamidin.
Hamidin berkata, sehingga kini 12 anggota gabungannya sudah membentuk
 Jawatankuasa Integriti masing-masing iaitu Perlis, Kedah, Kuala Lumpur,
 Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan,
 Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Untuk rekod, FAM telah mewujudkan Jawatankuasa Intergriti pada 2010 
dan kempen integriti diperkenalkan secara rasmi dalam aksi final Piala 
FA 2011 yang menemukan Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit
 Jalil.
Dalam perkembangan sama, Hamidin menegaskan, Jawatankuasa Integriti 
di peringkat negeri harus mengemukakan laporan kepada FAM pada setiap 
bulan.
“Mereka harus menghantar laporan pada setiap bulan berdasarkan aduan (kes) yang diterima oleh jawatankuasa tersebut.
“Ketua jabatan FAM, Osman Bakar akan memantau Jawatankuasa Integriti 
peringkat negeri dan beliau akan membawa (laporan) itu ke peringkat FAM 
yang dipengerusikan oleh (Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM) Tan Sri 
Aseh Che Mat,” ujarnya.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan