KALI KEDUA... Kelantan sekali lagi dinobatkan selaku juara Piala Malaysia musim lalu.
REPUTASI Kelantan selaku jagoan baharu dalam arena bola sepak tanah
air sejak beberapa tahun lalu sudah tidak perlu dipersoal lagi.
Di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai peneraju Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sejak 2007, The Red Warriors ternyata
mengalami satu transformasi sehingga memberi impak besar kepada Liga
Malaysia (Liga M) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Enam kejuaraan utama - Liga Super (dua), Piala Malaysia (dua) dan
Piala FA (dua) selepas dua tahun Annuar memimpin KAFA, membuktikan
betapa Kelantan wajar dicemburui pasukan lawan khususnya gergasi bola
sepak seperti Selangor, Perak, Kedah, Pahang mahupun Terengganu.
Paling membanggakan seluruh peminat dan penyokong setia Kelantan
apabila pasukan kesayangan mereka itu muncul juara trebel musim lalu
dengan menjulang trofi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Kelantan sudah boleh melupakan misi mempertahankan
kejuaraan Liga Super musim ini selepas sekadar mampu menamatkan saingan
di tangga keempat.
Biarpun sudah terlepas satu trofi, Kelantan masih ada sebab untuk
mendabik dada kerana status juara Piala FA masih menjadi milik mereka
hasil kejayaan membenam pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim
(Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.
Kini skuad The Red Warriors itu berpeluang meraih gelaran
berganda apabila kejohanan paling berprestij di tanah air - Piala
Malaysia membuka tirai secara rasmi pada 20 Ogos depan.
Diundi dalam Kumpulan C bersama dua lagi pencabar dari Pantai Timur -
Terengganu, Pahang selain Negeri Sembilan, Kelantan sudah pasti
diletakkan sebagai pasukan pilihan berbanding tiga lawan mereka itu.
Bagaimanapun, bagi pengendali Kelantan, Bojan Hodak, beliau lebih
gemar merendah diri dan tidak mahu anak-anak buahnya dilabel pasukan
pilihan sehingga menyebabkan mereka gagal beraksi pada tahap sebenar.
"Kami tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan yang telah dicapai
musim lalu. Lebih baik jika Kelantan dilabel sebagai underdog berbanding
pasukan pilihan lain bagi membolehkan para pemain saya tidak berdepan
dengan tekanan.
"Secara peribadi, saya melihat saingan Piala Malaysia musim ini
paling sengit berbanding sebelum ini kerana banyak pasukan telah
menunjukkan kebangkitan sama ada dalam Liga Super mahupun Liga Premier,"
jelas Hodak kepada Kosmo! baru-baru ini.
Walaupun lebih cenderung mengambil pendekatan 'berhati-hati' dalam
misi mempertahan kejuaraan Piala Malaysia musim ini, Hodak tetap
menetapkan sasaran awal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.
"Kami telah bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini. Turun
dengan status juara bertahan bukanlah tugas mudah tetapi kami akan
menampilkan aksi yang terbaik sepanjang kempen Piala Malaysia nanti.
"Saya yakin Kelantan mampu ke saingan suku akhir. Kami pernah
menentang ketiga-tiga pasukan itu (Terengganu, Pahang dan Negeri
Sembilan) sebelum ini tanpa sebarang kekalahan. Saya fikir, kami mampu
kekalkan prestasi tersebut," katanya,
Ditanya pasukan manakah yang mampu memberi cabaran yang lebih sengit
kepada Kelantan, Hodak secara jujur menjawab: "Pahang mampu merebut slot
juara kumpulan berdasarkan prestasi semasa dan pertemuan sebelum ini."
Begitupun, Hodak jelas sekali tidak mahu menidakkan kemampuan
Terengganu dan Negeri Sembilan yang dianggapnya mempunyai misi peribadi
masing-masing dan mampu menyekat langkah Kelantan jika beliau salah
percaturan.
"Kami telah bertemu Terengganu empat kali musim ini. Sudah pasti
Terengganu ada misi penting apabila menentang Kelantan nanti,
lebih-lebih lagi selepas kami mengecewakan mereka pada aksi separuh
akhir Piala FA.
"Bagi Negeri Sembilan pula, saya tidak mahu merendahkan kemampuan
pasukan itu. Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan yang baik tetapi
mereka agak 'tenggelam' di tempat lawan.
"Walaupun Negeri Sembilan telah tersingkir ke Liga Premier musim
depan, saya percaya mereka mahu menjadikan kempen Piala Malaysia kali
ini sebagai medan kebangkitan," tambahnya.
Sesuatu yang mungkin menggembirakan pengendali berusia 43 tahun itu
ketika ini apabila barisan kendaliannya berada pada prestasi terbaik dan
bebas daripada masalah kecederaan.
Kejayaan membenam juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor 4-0 pada
aksi persahabatan di Stadium Shah Alam minggu lalu sudah pasti memberi
kelegaan kepada Hodak bagi membentuk skuad paling ampuh menjelang sepak
mula Piala Malaysia nanti.
"Walaupun saya berpuas hati dan gembira dengan prestasi para pemain
setakat ini tetapi keadaan ini agak memeningkan kepala saya untuk
memilih siapakah yang layak untuk menggalas tugas dalam kesebelasan
utama.
"Situasi ini jelas menunjukkan setiap pemain berada dalam keadaan
bersedia untuk menggalas tugas sekiranya diberikan peluang untuk beraksi
dalam saingan Piala Malaysia nanti," ujarnya.
Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim awal-awal lagi telah mengingatkan skuad The Red Warriors
agar tidak memandang rendah keupayaan pencabar mereka sehingga mampu
'meragut' misi mereka menjulang Piala Malaysia edisi ke-87 kali ini.
Bagi Azman, biarpun undian peringkat kumpulan dilihat agak memihak
Kelantan, beliau tidak mahu anak-anak buahnya leka 'dibuai mimpi indah'
hasil kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.
"Seperti musim lalu, kami sekali lagi diundi dalam kumpulan sukar
tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk beraksi dengan baik dalam
setiap perlawanan yang dilalui.
"Jadi saya mahu para pemain Kelantan bersedia lebih awal kerana sudah
pasti, setiap pasukan melakukan perkara yang sama untuk memulakan misi
baharu bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia tahun ini," katanya.
Kini tumpuan sudah pasti terarah kepada Kelantan yang hanya menunggu
detik sebelum sepak mula kempen Piala Malaysia 2013 bermula 20 Ogos
nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan