![]() |
RONALDO dikatakan masih enggan menandatangani kontrak baharu bersama Real selagi tuntutannya tidak dipenuhi.
|
LONDON - Manchester United mungkin akan membuat tawaran semula
terhadap Cristiano Ronaldo selepas pemain bintang Real Madrid itu masih
berdiam diri tentang perbincangan berhubung masa depannya di Santiago
Bernabeu.
Masa depan Ronaldo di Madrid masih lagi belum dipastikan setelah dia
enggan mengesahkan laporan media Sepanyol bahawa dia telah bersetuju
dengan kontrak baharu selama lima tahun dengan kelab tersebut.
Laporan itu menyatakan bahawa sebelum ini bintang Portugal tersebut
telah menyambung komitmennya di Bernabeu sehingga 2018 dengan kenaikan
gaji sehingga £14.8 juta (RM73.4 juta) setahun.
Ronaldo masih mempunyai baki kontrak dua tahun lagi di Madrid yang
telah membayar harga rekod perpindahan dunia £80 juta (RM396.9 juta)
ketika membawanya dari United pada 2009.
Begitupun, dia mula mencetuskan persoalan mengenai masa depannya
apabila mendedahkan bahawa dia amat merindukan bola sepak England.
Bercakap ketika jelajah pra-musim Real di Amerika Syarikat, Ronaldo
berkata: "Situasi masih lagi belum diselesaikan dan saya tidak fikir ia
masa yang sesuai untuk membincangkannya.
"Mungkin kami akan dapat memberi maklumat lanjut yang lebih kukuh
lagi mengenai perkara ini, tetapi satu-satunya perkara yang saya
fokuskan ialah menjalani latihan dan usaha keras."
Ronaldo turut memberi komen tentang usaha Real yang mahu membeli
penyerang Tottenham Hotspur, Gareth Bale dengan jumlah mengatasi harga
rekod dunia yang dibayar ke atasnya.
Real dilaporkan bersedia membayar £95 juta (RM471 juta) ke atas Bale,
namun Ronaldo berkata: "Saya tidak layak untuk bercakap tentang pemain
baharu, tetapi saya sangat gembira dengan pemain yang ada dalam pasukan
ini.
"Dalam segi harga perpindahan, kamu kena cakap dengan jurulatih (Carlo Ancelotti) dan Presiden (Florentino Perez).
"Saya ada pendapat saya sendiri, tetapi saya tidak akan mendedahkannya di hadapan media," katanya lagi.
Ronaldo kini berada di Los Angeles bersama skuad Real Madrid, telah
membantu kelab itu mencatat dua kemenangan ke atas LA Galaxy dan Everton
dalam Kejohanan Pra-Musim Piala Juara-Juara.
Mereka dijadualkan berdepan Chelsea pada aksi final kejohanan, awal pagi Khamis ini. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan