Ahad, 7 Julai 2013

Ronaldo 'tutup buku' ke United

RONALDO melayani pihak media yang mengerumuninya ketika menghadiri satu majlis gala di Monaco, kelmarin. Ronaldo sudah pun melupakan hasrat untuk berhijrah ke United.


LONDON - Cristiano Ronaldo cuba menamatkan spekulasi yang mengaitkan kepulangannya ke Manchester United dengan menjelaskan masa depannya kini adalah bersama kelab Real Madrid.

Bintang Portugal itu telah mengakui secara terbuka keinginannya untuk kembali semula ke United, kelab yang pernah menjualnya kepada Real dengan harga £80 juta (RM379.9 juta) pada 2009, namun cuba membawanya semula ke England pada musim panas ini.

Begitupun, Ronaldo berkata: "Manchester United adalah sebuah kelab yang telah lama berada di hati saya sekian lama. Semua orang tahu tentang keghairahan saya dengan kelab ini.

"Tetapi masa depan saya ialah bersama Real Madrid. Di Madrid, kami perlu melakukan apa yang terdaya untuk memenangi gelaran Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara. Saya juga berharap untuk beraksi di Piala Dunia bersama Portugal."

Real ketika ini berusaha keras untuk memastikan penyerang berusia 28 tahun itu menyambung kontrak baharu, namun United berharap hubungan istimewanya dengan bekas pengurus, Alex Ferguson yang kini menjadi pengarah kelab tersebut, mampu memujuknya kembali semula ke tempat asalnya.

Bagaimanapun, Ronaldo menjelaskan dia telah selesa menjalani kehidupannya di ibu kota Sepanyol tersebut.

"Kini kehidupan saya adalah di Sepanyol dan saya juga sangat gembira bermain di kelab ini.
"Sebahagian daripada hidup saya adalah di sini, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Saya sangat gembira dalam saingan Liga Sepanyol sekarang," jelasnya lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan