Ahad, 16 Jun 2013

United guna pengaruh Ferguson tambat Ronaldo

MANCHESTER - Manchester United bersedia menggunakan pengaruh yang dimiliki Alex Ferguson untuk membawa semula Cristiano Ronaldo ke Old Trafford.

Terdahulu, Ronaldo dilapor kecewa dengan keputusan bekas pengurus United berusia 71 tahun itu yang bersara pada penghujung musim ini.

Ronaldo dikatakan hanya mahu kembali jika Ferguson masih mengendalikan United.
Namun, pihak pengurusan United percaya, pengaruh Ferguson sebagai pengarah skuad The Red Devils mampu merealisasikan perkara tersebut.

Biarpun Ferguson enggan campur tangan sebarang urusan pengendali baharu United, David Moyes, beliau dikatakan bersedia memujuk Ronaldo kembali ke Old Trafford.

Hubungan antara kedua-dua individu itu masih baik sejak Ronaldo meninggalkan United dengan yuran perpindahan sebanyak £80 juta (RM388.7 juta) pada musim 2009.

Dia juga merakamkan penghargaan kepada Ferguson ketika 'orang kuat' United itu mengumumkan persaraan musim lalu.

Pada masa sama, impian peminat fanatik United juga kembali membara apabila Ronaldo menegaskan belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya bersama Real.

Mereka juga berharap kehadiran Gareth Bale ke Real mampu menjamin kepulangan Ronaldo ke Old Trafford. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan