Khamis, 26 September 2013

'Terserah kepada SPRM'


"HANYA satu prosedur biasa."
Itu cerita ringkas pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas selesai memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bandar Meru Raya, Ipoh kelmarin.

Meskipun dikatakan mengambil masa sehingga lapan jam apabila hanya selesai memberikan keterangan kira-kira tengah malam, Azraai kekal tenang dan mengakui tidak tertekan dengan situasi itu.

"Ia mengambil masa yang agak lama tetapi itu perkara biasa... saya perlu menjelaskan banyak perkara terutamanya mengenai kesebelasan pemain dalam perlawanan tertentu dan sebagainya.
"Kini, segala-galanya terserah kepada SPRM," katanya kepada Kosmo! semalam.

Polemik mula tercetus dalam kalangan peminat fanatik skuad Seladang ekoran tindakan drastik Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membekukan khidmat Azraai, pegawai dan petugas pasukan itu berkuatkuasa Isnin lalu.

Ia gara-gara pihak PAFA mengesyaki wujudnya isu rasuah dan sabotaj dalam skuad Seladang selepas tersingkir dalam kempen Piala Malaysia musim ini terutamanya apabila dibelasah Sarawak 1-6 dalam aksi terakhir Kumpulan D di Kuching pada 21 September lalu.

Mengulas lanjut, Azraai memberitahu, beberapa lagi pemain Perak juga telah diambil keterangan masing-masing oleh SPRM semalam bagi membantu siasatan.

"Saya tidak tahu bila siasatan akan selesai, cuma saya harap ia dapat diselesaikan segera," jelasnya.
Pada masa sama, Azraai juga menafikan fokus anak-anak buahnya kini terjejas teruk ekoran siasatan itu.

"Pemain tetap menjalani latihan seperti biasa," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan