|
|
PADA awal tahun lalu, penyanyi Dafi membuat keputusan untuk mencuba
nasib menembusi pasaran hiburan di Indonesia, biarpun ia dilihat satu
langkah yang agak sukar.
Ternyata tuah memihak kepada bekas bintang Akademi Fantasia 5 itu
apabila dia dilamar menjadi artis residen syarikat penerbitan Trans
Corp. Kerjaya Dafi di seberang bermula pada 12 Januari tahun lalu
untuk sebuah program hiburan berjudul Selebrita.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini Dafi atau nama sebenarnya
Gadaffi Ismail Sabri, 24, dilihat lebih kerap menghabiskan masa di
Malaysia sehingga menimbulkan tanda tanya sama ada dia masih lagi
mengembangkan karier di Indonesia atau sebaliknya.
Ketika ditemui semasa majlis pelancaran eMall Karangkraf yang
diadakan di The Curve Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini, Dafi
bercerita tentang mengapa dia kini lebih kerap kelihatan berada di
Malaysia.
KOSMO! AHAD: Apa perkembangan terkini Dafi?
DAFI: Sejak Ogos yang lalu saya memang banyak menghabiskan masa di
Malaysia dan kini baru sahaja selesai menjalani rakaman lagu untuk album
kedua yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Album tersebut mengandungi enam buah lagu dan saya bekerjasama dengan
komposer Ajai. Rakaman telah selesai dilakukan dan kini sedang dalam
proses mencari tajuk dan konsep kulit album yang sesuai.
Dengan pasaran album yang agak perlahan sekarang, apakah yang mendorong Dafi untuk menghasilkan album baharu?
Kali terakhir saya menghasilkan menghasilkan album adalah pada tahun
2008 yang berjudul Seumur Hidup. Jadi sudah tiba masanya untuk saya
lahir dengan sebuah produk yang baharu.
Lagipun peminat juga pasti akan berasa bosan sekiranya saya
menyanyikan lagu yang sama setiap kali membuat persembahan. Jadi, saya
sanggup ambil risiko dengan mengeluarkan duit sendiri untuk menerbitkan
album baharu.
Bagaimanakah pula dengan karier Dafi di Indonesia?
Buat masa ini kerjaya saya di sana masih lagi seperti biasa, namun
kontrak saya bersama Trans Corp akan berakhir pada pertengahan bulan
(Januari) ini dan saya akan berbincang dengan mereka tentang sambungan
kontrak dalam masa terdekat ini.
Cuma saya ingin memberitahu yang kini saya tidak lagi menjadi
pengacara untuk program Selebrita. Setelah berasa diri tidak sesuai
bergelar pengacara, akhirnya saya menarik diri.
Adakah Dafi menyesal menerima tawaran menjadi pengacara dahulu?
Saya tidak pernah menyesal kerana sekurang-kurangnya saya sudah
mencuba sebaik-baiknya serta mendapat banyak pengalaman. Mungkin
disebabkan jiwa saya lebih kepada menjadi penyanyi, lebih baik saya
fokus kepada bidang nyanyian sahaja.
Ketika mula-mula mendapat peluang mengembangkan kerjaya seni di
Indonesia dahulu, saya tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi dan
mahu nama saya bertapak kukuh dan dikenali peminat di sana terlebih
dahulu.
Apabila ditawarkan menjadi pengacara saya berpendapat lebih baik jika
menerimanya. Sekurang-kurangnya menerusi cara sebegitu saya akan lebih
dikenali peminat dan barulah mudah untuk memasarkan diri di sana.
Apakah yang Dafi akan lakukan untuk meneruskan karier di Indonesia?
Selepas selesai penerbitan album baharu nanti saya sudah merancang
menghasilkan sebuah single khusus untuk pasaran di Indonesia dan akan
menggunakan khidmat komposer di negara berkenaan.
Selain itu, saya juga bersedia menerima sebarang tawaran berlakon
sinetron, dengan syarat tidak memegang watak yang besar. Saya bimbang
tidak dapat memberi sepenuh komitmen memandangkan penerbitan sinetron
mengambil masa lama sehingga beratus-ratus episod.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan