-Kosmo
|
BAGAIKAN beraksi di pentas final, itu janji kapten Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri
Radzi menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Sumbangsih bagi
merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam malam ini.
Biarpun aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2013 itu tidak
menghadiahkan sebarang mata buat kedua-dua pasukan, Hairuddin yang mesra
disapa Hai-O enggan mengambil mudah pertemuan tersebut.
Sebaliknya, Hai-O percaya perlawanan itu menjadi titik tolak
kemampuan pasukannya mencabar mana-mana pasukan elit dalam saingan Liga
Super musim ini.
"Perlawanan Sumbangsih tetap menjadi keutamaan kami sebagai penyuntik
semangat sebelum berdepan Lions XII dalam aksi sulung Liga Super di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (9 Januari) nanti.
"Jika kami berjaya menewaskan Kelantan, ini bermakna ATM sudah
bersedia mengharungi Liga Super," kata Hai-O pada sidang akhbar di Wisma
FAM, Kelana Jaya semalam.
Pada masa sama, Hai-O juga menyifatkan kejayaan menewaskan Kelantan
mampu merealisasikan sasaran awalnya membantu ATM untuk
sekurang-kurangnya mendakap satu trofi musim ini.
"Saya idam satu trofi, jadi Piala Sultan Ahmad Shah merupakan peluang
pertama saya. Sudah tentu saya enggan mensia-siakan peluang itu,"
katanya.
Dalam pada itu, Badhri yang mesra dengan panggilan Piya mengakui, ATM
bukan calang-calang pencabar seperti mana yang dibuktikan ketika aksi
final Piala Malaysia, Oktober lalu.
Biarpun beberapa keputusan perlawanan persahabatan Kelantan sebelum
ini kurang memuaskan, Piya optimis rakan-rakan sepasukannya kembali
bangkit mempamerkan karakter selaku sang juara malam ini.
"Tekanan selaku juara trebel sentiasa ada, jadi kami perlu membuka buku baharu dan melupakan kejayaan lalu.
"Biarpun bukan mudah, terutamanya tanpa Apexs (Khairul Fahmi Che
Mat), saya harap kami mampu mengekang serangan ATM dengan cukup baik.
"Saya juga tidak terlalu tertekan memburu gol kerana percaya dengan
kemampuan jentera serangan Kelantan yang masih tajam biarpun tanpa
Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammad Ghaddar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan