Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
PERJALANAN seninya bermula apabila dia menyertai program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim empat. Bagaimanapun pada waktu itu kelibatnya hanya kekal sebagai peserta sebelum gugur di awal pertandingan.
Lima tahun berlalu dia sekali lagi memberanikan diri berada di pentas
yang sama dan akhirnya kekecewaan yang pernah menyelubungi diri diganti
dengan kejayaan paling manis buat kariernya sebagai penyanyi.
Menjadikan pengalaman lalu sebagai asas paling kukuh untuk dia terus
berusaha mencapai apa yang pernah diimpikan selama ini, Hazama mempunyai
percaturan tersendiri.
Namun apa yang dia pelajari, menyandang gelaran juara untuk sebuah
program realiti popular bukan tiket mudah untuk merangkul populariti
dalam sekelip mata.
Sedar pendakiannya agak berliku dan berbeza dari rakan-rakannya yang
lain, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi mengakui sikapnya
memainkan peranan besar dalam perjalanan kariernya.
Mempunyai personaliti yang agak keras menurut Hazama, sombong bukan
perkataan yang sesuai untuk dirinya. Menyedari langkahnya masih lagi
jauh, dia tahu sikap negatif seperti itu hanya akan memakan diri sahaja.
"Sombong? Saya juga hairan bagaimana sikap ini dikaitkan dengan saya.
"Benar saya seorang artis kini namun hakikatnya saya hanya manusia
biasa yang masih kekal mempunyai sikap malu. Mungkin sebab saya tidak
begitu ramah menyebabkan saya dilabel begitu," katanya yang hadir untuk
sesi fotografi di Studio Utusan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berkeras mahu menjadi dirinya sendiri menurut Hazama, proses
pembelajarannya baru sahaja bermula. Setelah hidup sebagai seorang
remaja biasa, populariti yang baru diraih dalam sekelip mata ini sedikit
sebanyak mengubah persepsinya tentang masyarakat.
"Sebelum ini masyarakat memandang saya bukan siapa-siapa, mungkin
sudah terbiasa dengan keadaan itu saya juga memberi reaksi yang sama
seperti sebelum saya bergelar artis.
"Bagaimanapun saya akan tetap cuba belajar kerana saya tahu itu
merupakan satu tuntutan dalam kerjaya saya untuk menerima budaya baru.
"Tetapi tidaklah sehingga menghilangkan identiti saya sebelum ini.
Saya akan cuba diadaptasi kehidupan saya mengikut kesesuaian dan saya
harap peminat di luar sana dapat bersabar," katanya lembut.
Tidak mahu terlalu runsing dengan kenyataan yang mengatakan sikap
sombong itu yang menyebabkan namanya lambat dikenali, bagi Hazama dia
mempunyai alasan yang lebih baik untuk diberikan.
Bukan sebab sikap sombongnya tetapi dia lebih suka untuk mendapat kejayaan itu secara perlahan-lahan.
"Saya tahu ada di antara mereka di luar sana mempertikaikan kenapa
nama saya agak lambat berada di atas seperti juara-juara sebelum ini.
Itu bukan sesuatu yang perlu saya takut sebenarnya kerana saya percaya
ini laluan karier yang paling sesuai untuk saya.
"Saya pernah jatuh sebelum mencuba di pentas AF semula, dalam jangka
waktu itu saya banyak belajar untuk bersabar, sudah berada di tahap ini
kini, saya yakin saya akan terus berusaha sehingga mencapai apa yang
saya ingin kelak," kata bekas juara AF musim terakhir ini.
Masa depan
Berbicara tentang masa depan, antara persoalan yang tidak mahu Hits
terlepas peluang bertanya adalah kisah cintanya dengan seorang gadis.
Setelah enam tahun menjalin hubungan Hazama mengakui cintanya kini
semakin mendalam.
"Memang saya pernah letak dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang saya mahu berkahwin.
"Tetapi sebagai manusia kita hanya berada di kelompok perancang,
penentunya hanya Allah. Beri saya masa untuk buktikan karier ini
benar-benar menjamin masa depan keluarga saya nanti. Saya pasti wanita
yang saya cintai itu memahami apa yang sedang saya lalui," katanya.
Mengusik sisi 'jiwang' di dalam hatinya, Hazama akui ada episod
gelora yang pernah menerpa hubungan cintanya. Bagaimanapun memuji sikap
kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Noor itu, Hazama lega kerana
wanita itu setia menjadi 'pemberat' dalam kehidupannya agar sentiasa
stabil.
"Bercakap tentang wanita yang saya sudah kenali selama enam tahun
ini, antara kelebihannya adalah dia mampu mengelakkan saya daripada
berada dalam situasi yang tidak mampu saya kawal. Dia ibarat titik
tengah di antara kehidupan lalu dan kini saya.
"Setiap kali berlaku apa-apa dia mampu memberi kestabilan dalam hidup
saya. Itu antara sebab mengapa saya masih kekal sebagai diri saya kini,
mungkin tanpa dia, saya sudah terkena kejutan budaya," katanya ketawa.
Sibuk membetulkan kembali strateginya untuk dikenali sebagai
penyanyi, pada masa yang sama Hazama yakin untuk mencuba sesuatu yang
baru sebagai permulaan yang asing buatnya.
Berlakon bukan kepakarannya namun sikap ingin mencuba memberi ruang buat dirinya dikenali sebagai seorang pelakon kini.
Sudah pun muncul dengan filem pertamanya pada Oktober lalu untuk filem Apa Celop Toqq dan kini dia sedang menanti reaksi peminat untuk filem terbarunya berjudul Lari.
"Saya tahu ramai yang tidak yakin dengan keputusan saya untuk
berlakon namun bila saya mengambil keputusan untuk berlakon, saya tahu
saya hanya mahu mencuba dan tiada apa yang salah dengan itu.
"Bagaimanapun setelah diberi peluang oleh pengarah Ahmad Idham saya
yakin nyanyian masih menjadi fokus utama saya kini," katanya yang turut
berlakon dalam telemovie Ady Velentino yang ditayangkan baru-baru ini.
Pentas AJL
Bakal beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu 27 pada 6 Januari depan, Hazama mengakui agak gementar.
Di sebalik kegembiraan, Hazama bagaimanapun tidak dapat lari daripada
kata-kata pedih sesetengah pihak yang mengatakan kelayakannya ke pentas
berprestij itu hanyalah disebabkan lagu berjudul Simetri dibawa bersama penyanyi tersohor Amy Search.
"Saya tidak kisah dengan kata orang dan saya juga tidak kisah sebenarnya untuk dikatakan menumpang nama Amy Search.
"Bukan apa, ini merupakan peluang yang ditunggu ramai orang termasuk
saya berada di atas satu pentas bersama Amy Search sudah cukup
membanggakan saya," katanya.
Bukan sahaja mencari kemenangan, bagi Hazama kehadirannya ke pentas AJL nanti bakal mencatatkan sejarah tersendiri buatnya.
"Kelebihan dapat ke pentas akhir ini saya anggap sebagai bonus buat kerjaya saya.
"Selain persembahan vokal yang mantap, kami juga bakal memberikan
satu pengalaman berbeza buat peminat pada pentas akhir nanti dengan
menyediakan pakaian serta aksesori yang mampu mengimbau kembali
saat-saat kegemilangan Abang Amy," katanya.
Selain sibuk dengan persiapan akhir AJL itu, Hazama juga kini tidak
sabar lagi untuk berkongsi album terbarunya yang akan dilancarkan tahun
ini. Di dalam album tersebut peminat Hazama bakal dihidangkan dengan
sembilan buah lagu bersama empat bonus track.
"Saya akui saya mengambil masa yang agak lama untuk muncul dengan
album. Perlu saya katakan di sini saya juga pernah menjadi seorang
peminat dan melalui itu saya tahu apa yang di mahukan peminat.
"Buat masa ini hanya tinggal 20 peratus lagi dan keistimewaan album
ini adalah penggunaan gabungan alatan muzik tradisional Melayu seperti
seruling dan gambus menjadikan irama lagu pop saya itu lebih unik,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan