Sabtu, 5 Januari 2013

Julianne Hough alami penderaan emosi


LOS ANGELES 3 Jan. - Aktres dan penari profesional, Julianne Hough (gambar), mengaku mengalami 'penderaan' ketika zaman kanak-kanak dan tidak bebas seperti mereka yang seusia dengannya.

Bintang yang sedang menjalin hubungan dengan pengacara, Ryan Seacrest itu berkata, 'penderaan' tersebut berlaku sejak dia berusia 10 tahun, apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga dan tinggal di London untuk mempelajari tarian secara profesional.

"Saya didera secara mental, fizikal dan emosi," katanya dalam majalah Cosmopolitan edisi Februari yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Menurutnya, pada usia 10 tahun, dia sudah melakukan kerja keras seperti wanita berusia 28 tahun dan terpaksa menari dengan sepenuh hati.

"Saya menjadi kanak-kanak yang sangat terseksa kerana terpaksa berpura-pura gembira dan bahagia dengan tarian, hanya kerana itu kerjaya dan kehidupan saya.

"Namun, hati saya tetap sama dan saya masih seorang kanak-kanak perempuan yang tidak tahu apa-apa. Saya hanya mahukan kasih sayang," katanya. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan