|
KIM KARDASHIAN dalam satu temu ramah mendakwa dia tidak suka
berbicara tentang dirinya sendiri walaupun peminat gemar bercerita
tentang model itu dan keluarga Kardashian.
Terbaharu, berita kehamilan Kim menjadi ledakan berita penghujung
tahun. Pengumuman kehamilan itu dibuat sendiri oleh kekasih Kim, si
penyanyi rap Kanye West di hadapan 5,000 penonton sewaktu konsertnya di
Atlantic City, New Jersey pada 30 Disember lalu.
Dalam satu atmosfera kejutan, Kanye memberhentikan muzik dan
mengumumkan seraya menunjuk ke arah Kim dan berkata: "Matikan muziknya
dan bersoraklah untuk ibu kepada bayi saya!"
Tiada yang lebih membahagiakan Kanye selaku lelaki apabila buah hati
pengarang jantungnya hamil 12 minggu. Malah penyanyi lagu Through the
Wire itu sendiri pernah menyatakan bahawa jika Kim hamil, dia akan
kelihatan cantik.
Populariti Kim
Soal mengapa seorang wanita berusia 31 tahun dengan nama Kim itu popular bukan satu perkara yang membuahkan pertanyaan lagi.
Ada yang menyatakan bahawa wanita tersebut popular kerana diberi
perhatian. Ada pula yang memetik sebab kemunculan video seksnya membawa
kepada faktor kemeriahan namanya dijulang. Sebelum itu, namanya naik
kerana berpacaran dengan anggota kumpulan 98 Degrees, Nick Lachey dan
bersahabat dengan selebriti Paris Hilton. Namanya jadi sebutan sejak
itu.
Malah Kim sendiri pernah berkata: "Saat saya terdengar khalayak
mempersoalkan populariti saya, saya mahu menjawab, 'Apa yang kalian
perkatakan? Saya mempunyai program televisyen yang hit. Episod kami
lebih lama daripada program The Andy Griffith."
Lalu program televisyen Keeping Up With The Kardashian turut
dipersoalkan, kata khalayak dia tidak melakukan apa-apa kecuali diekori
dengan kamera.
Pantas, si cantik Kim menjawab: "Untuk membolehkan diri sendiri
membuka tentang kehidupan dan jika semua orang boleh lakukan, mereka
pasti lakukan. Maksud saya, menyanyi dan berlakon bukanlah sahaja cara
untuk dikatakan berbakat. Perlu ada kepakaran untuk membuatkan orang
menyukai kamu kerana diri kamu sendiri."
Dia juga menambah ke atas pertanyaan tentang bakatnya: "Seekor
beruang boleh berdiri di atas sebiji bola dan dia berbakat. Tetapi
beruang itu tidak popular. Anda faham maksud saya?"
Walau apa pun jawapan Kim terhadap tahap glamornya dan bertubi-tubi
soalan khalayak tentang kewujudannya dalam dunia selebriti, Kim masih di
tangga atas populariti.
Buktinya, dia hanya kalah pada tahun lepas kepada Justin Bieber.
Namun untuk tahun 2012, nama Kim masih di tangga pertama individu yang
paling banyak dicari di laman internet tahun 2012.
|
|
Seorang penerbit radio yang merupakan penulis buku Fame Junkie pernah merungkaikan faktor popular Kim.
"Tidak kisahlah seseorang itu terkenal kerana apa. Apabila seseorang
melalui karpet merah dan orang mengambil gambar, khalayak sudah
tertarik. Khalayak lebih tertarik kepada kehidupan semulajadi selebriti.
Kim adalah seorang penghibur. Dia mempamerkan kehidupan 'selebriti
palsu' dan mengemudi semua drama dalam dunia. Kim bagus dalam melakukan
itu," katanya.
Kim Kardashian sebuah jenama
Pada satu aspek pasaran, penjualan jenama Kim Kardashian itu
sebenarnya sangat berjaya. Apa sahaja yang dilakukan pasti mendapat
perhatian khalayak.
Kim juga bijak memanipulasi peluang. Dia merupakan wanita berkarier
yang punya cita-cita besar. Sebelum terkenal, Kim hanya bekerja di
bahagian peruncitan, menjual barangan di eBay dan akhirnya menjadi
jurugaya.
Angan-angan untuk menjadi bintang realiti televisyen sudah dipasang sejak usianya menjengah 12 tahun.
"Saya memang mahu menjadi seorang bintang realiti televisyen," nekad
itu dipegang hingga mimpinya menjadi realiti. Dia yang inginkan
perhatian ramai mendapat lebih daripada apa yang diimpikan sebelum ini.
Hidupnya kini tidak melekat perkataan privasi. Kehidupan peribadinya
diterjah kanan dan kiri oleh paparazi dan khalayak. Itu harga yang
dibayar untuk impian kanak-kanaknya.
"Semuanya berlaku dengan pantas. Kami tidak tahu apa sebenarnya yang
kami lakukan. Selepas kami membuat penggambaran, saya ditawarkan untuk
bergambar dengan majalah Playboy," ujarnya tentang penggambaran program
Keeping Up With Kardashian yang merupakan sebuah rancangan televisyen
popular.
Wanita yang lahir pada 21 Oktober 1980 itu sudah rapat benar dengan
predikat bintang. Dia adalah jenama sebutan ramai, usahawan, penyanyi,
pelakon, pereka fesyen dan semua yang berkaitan.
Perkahwinan keduanya bersama Kris Humpries dibayar AS$18 juta (RM54
juta). Rumahtangganya bersama bintang bola keranjang itu hanya bertahan
selama 72 hari dan kini hati Kim sudah dimiliki Kanye yang merupakan
sahabat lamanya.
Pasangan selebriti tersebut pantas mendapat restu khalayak. Malah
nama Kim dan Kanye disatukan menjadi 'Kimye' menunjukkan bahawa mereka
adalah satu item di mata umum.
Berkenalan sudah lama, Kim sendiri sukar menjawab kenapa mereka
mengambil masa yang lama untuk berpacaran. Kali pertama gambar mereka
berdua diambil pada April tahun lalu, beberapa bulan selepas itu mereka
mengaku sudah bercinta.
Kontrak RM48 juta
"Sangat menyenangkan apabila mempunyai seseorang yang mengetahui
segalanya tentang diri saya. Dia juga menghormati, memahami dan melalui
perkara yang sama. Saya boleh mengaitkan diri dengan kehilangan ayah
kerana dia juga kehilangan ibuya. Saya sedang berada dalam fasa
gembira," senyumnya dalam satu temu ramah.
Baru beberapa hari berita kehamilan diumumkan kepada dunia, namun janin berumur 12 minggu itu sudah membikin heboh.
Terdapat pihak yang sudah meramalkan jantina anak Kimye. Lebih dahsyat sudah ada yang melukis wajah bakal anak mereka.
Dua keping gambar sudah beredar dan menunjukkan wajah Kimye Junior, baik versi anak lelaki mahu pun anak perempuan.
Bayi tersebut diprediksi akan memiliki bibir yang penuh dan kulit
indah eksotik seperti Kim. Sedang sang ayah akan menyumbangkan mata dan
alisnya.
Seperti yang dilaporkan oleh Daily Mail, seorang ahli nama bayi
bernama Pamela Redmond Satran mulai meramalkan nama yang akan dipilih
Kim dan Kanye. Menurutnya, Kim dan Kanye akan memilih nama dengan awalan
huruf K.
Beberapa nama pun muncul, seperti Kassius, Kassia, Kauai, Kashmir,
Kyoto, Kissa dan Kito. Selain itu, Pamela juga meramalkan nama-nama
seperti Kalista, Kalixto, Kedence, Kalliope atau Kalypso.
Namun yang pasti, wang sebanyak AS$16 juta (RM48 juta) akan masuk ke
dalam akuan pasangan tersebut apabila pihak produser televisyen sudah
membincangkan penggambaran untuk mengikuti proses kehamilan Kim. Malah
wanita tersebut akan menjadi duta bagi beberapa produk wanita hamil dan
bayi.
"Kim sudah berbincang dengan pihak produser tentang penggambaran
proses kehamilannya daripada proses imbasan bayi, melawat hospital
hinggalah segala-galanya. Dia akan mendapat kira-kira AS$16 juta untuk
itu," ujar satu sumber.
Nah, ini membuktikan penjenamaan nama Kim Kardashian sebagai bintang
realiti televisyen berjaya pada zamannya. Senang benar mereka menjana
pendapatan dengan hanya menjual nama.
Mengingatkan kepada salah satu pernyataan Kim: "Apabila melihat
kepada mesej yang saya gambarkan, saya pasti bahawa saya maksudkan, kita
bukan hanya menjadi diri sendiri malah menjadi yang terbaik."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan