Sabtu, 5 Januari 2013

Mancini, Balotelli bertelingkah



MANCINI (kanan) menarik baju Balotelli selepas berang dengan sikap penyerang Manchester City itu.


MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan bahawa Mario Balotelli tidak akan dihukum selepas terbabit dalam satu pertelingkahan di padang latihan kelmarin.

Mancini berkata, penyerang kontroversi Itali tersebut masih mempunyai masa depan bersama juara bertahan Liga Perdana England itu.

Pada insiden terbaharu, Mancini yang tidak berpuas hati dengan sikap Balotelli dilihat menarik baju penyerang tersebut sebelum dileraikan.

Bagaimanapun, Mancini menegaskan bahawa tidak ada pergaduhan berlaku antara mereka, sebaliknya beliau berang selepas rakan senegaranya itu enggan meninggalkan padang.

Ketika ditanya sama ada Balotelli akan berdepan sebarang tindakan disiplin, Mancini berkata: Tidak. Ini adalah sesuatu yang boleh berlaku."

Balotelli menyertai City daripada Inter Milan pada 2010 tetapi sering kali menjadi tajuk berita ekoran sikapnya yang dianggap liar ketika berada di dalam dan luar padang.

"Kami akan memberikannya 100 lagi peluang," kata Mancini ketika ditanya mengenai cadangan untuk menjual Balotelli.

Dalam insiden terbaharu kelmarin, Mancini meluru ke arah Balotelli selepas penyerang itu mengasari rakan sepasukan, Scott Sinclair dalam sesi latihan.

"Mancini dilihat bertengkar dengan Balotelli gara-gara kekasaran itu," menurut seorang saksi di tempat kejadian.

"Pada mulanya, Balotelli hanya berdiam diri kerana kekasaran yang dilakukannya tidak serius.
"Namun, Balotelli mula melawan apabila Mancini tidak berhenti memarahinya."

Insiden itu menyebabkan kedua-dua individu terbabit mula menolak sesama sendiri. Beberapa jurulatih cuba menenangkan keadaan manakala pemain lain hanya memerhatikan insiden itu," kata- nya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan