SERIUS... Rajagobal (tengah) memberi
arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil petang semalam.
APA agaknya yang bermain di benak fikiran pengendali Harimau Malaya,
Datuk K. Rajagobal menjelang aksi persahabatan berdepan gergasi
Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Menyedari perbezaan ketara kedua-dua pasukan ibarat langit dan bumi,
tiada apa yang dituntut Rajagobal selain mahu anak-anak buahnya
memberikan persembahan terbaik dan kembali bangkit melupakan episod duka
ketika diaibkan di bumi Jepun tempoh hari.
“Kita belum tentu berjumpa Barcelona selepas ini, jadi saya harap para pemain dapat memberikan yang terbaik esok (malam ini).
“Kalau boleh, biarlah pemain dapat sesuatu... ada tak peningkatan sekembalinya dari Jepun.
“Jadi saya harap pemain-pemain dapat mempamerkan aksi yang lebih baik
berbanding semasa bertemu Chelsea (tewas 1-4) sebelum ini,” kata
Rajagobal kepada pemberita selepas sesi latihan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil petang semalam.
Pada masa sama, Rajagobal juga seakan-akan masih belum serik daripada
melakukan eksperimen apabila tidak menolak kemungkinan merombak skuad
Harimau Malaya terutamanya pada babak kedua.
“Ini aksi ujian, berdepan Bahrain (kelayakan Piala Asia) jauh lebih penting daripada mana-mana aksi persahabatan.
“Saya akan turunkan dahulu skuad terbaik (pada babak pertama), jika ada keperluan saya akan membuat pertukaran,” jelasnya.
Rajagobal memberitahu, beliau belum membuat keputusan muktamad
mengenai kesebelasan utamanya malam ini memandangkan penjaga gol,
Khairul Fahmi Che Mat mengadu mengalami sakit pangkal paha sementara Nik
Shahrul Azim Ab. Halim pula baru pulih daripada kecederaan.
“Saya akan meneliti laporan penuh daripada doktor terlebih dahulu
sebelum membuat keputusan lanjut mahu menurunkan Khairul Fahmi dan Nik
Shahrul atau tidak,” katanya.
Rajagobal juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Harimau
Malaya akan tampil dengan corak permainan bertahan bagi mengelak
dibelasah Barcelona seperti mana yang dialami kelab Brazil, Santos (8-0)
dan juga skuad Bawah 23 tahun Thailand (7-1) kelmarin.
“Barcelona sebuah pasukan yang berada pada tahap berbeza, menggunakan
seorang penyerang supaya memiliki lebih ramai pemain di bahagian
pertahanan belum tentu mampu mengekang penguasaan mereka.
“Bagi saya, tiada pemain di dunia mampu mengekang (Lionel) Messi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan