Jumaat, 9 Ogos 2013

Rooney dalam bahaya


LONDON, England - Tempat Wayne Rooney dalam kesebelasan utama England akan terjejas jika dia gagal beraksi secara tetap bersama Manchester United.

Masa depan Rooney kini sebagai penyerang utama The Red Devils terjejas sebaik kehadiran bintang Belanda, Robin van Persie musim lalu.

Dia cuba dipikat Chelsea musim ini, namun kedua-dua tawaran yang telah dibuat The Blues sebelum ini telah ditolak United.

"Mana-mana jurulatih hanya memilih pemain terbaik dan beraksi secara kerap dalam kesebelasan utama.

"Sudah tentu ia sesuatu yang membimbangkan apabila mana-mana pemain utama gagal beraksi dalam skuad utama kelab masing-masing," kata pengendali England, Roy Hodgson.
Biarpun diketepikan United dalam aksi pramusim gara-gara kecederaan, Rooney masih berada dalam perancangan Hodgson menjelang aksi persahabatan berdepan Scotland di Stadium Wembley minggu depan.

Hodgson berkata, beliau menuntut aksi sebenar daripada Rooney menjelang aksi persahabatan itu nanti.

"Saya tidak boleh menyisihkan mana-mana pemain sebegitu sahaja.

"Rooney seorang pemain yang berdisiplin dan memberikan 100 peratus komitmen setiap kali beraksi bersama England.

"Saya harap dia dapat mengabaikan mana-mana masalah peribadi dan kekal komited bersama England," kata Hodgson.

Pada masa sama, Hodgson juga menasihatkan kesemua pemainnya kekal fokus dengan tugas antarabangsa biarpun pintu jendela perpindahan pemain semakin hampir ditutup.

"Semua pemain harus mengekalkan konsentrasi masing-masing setiap kali menyarung jersi England.
"Bukan semata-mata menjelang aksi berdepan Scotland tetapi apa yang menanti kami selepas itu iaitu Piala Dunia 2014," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan