|  | 
| 
ZARINA ANJOULIE LAVOCAH membuka tirai tahun baharu 2013 dengan titik hitam angkara dadah.  | 
BUKAN kali pertama Zarina Anjoulie Lavocah dikaitkan dengan dadah. 
Pada tahun 2010 dia pernah ditahan dalam satu operasi oleh Agensi Anti 
Dadah Kebangsaan (AADK) di Sepang, bagaimanapun ujian air kencingnya 
menunjukkan dia negatif daripada pengaruh dadah. 
Sepi seketika kemudian muncul pula dengan kontroversi dibayar untuk 
beraksi separuh panas dalam sebuah majalah di Indonesia, sepanjang 
minggu pelakon itu muncul semula dengan kes dadah terbaharunya.
Sudahlah ditangkap bersama temannya Mohamad Fakhruzaim atas dakwaan 
memiliki dua biji pil Eramin 5 pada 30 Disember lalu, Zarina yang 
mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Rabu lalu tidak dijamin oleh 
mana-mana ahli keluarganya sehingga pukul 4 petang. Hasil kegagalan itu,
 dia terpaksa diheret ke Kompleks Penjara Kajang, Selangor. 
Nasib teman lelakinya tidaklah semalang Zarina kerana dijamin oleh 
abangnya. Sebelum itu pelakon yang masih bergelar pelajar sebuah kolej 
swasta itu telah direman selama tiga hari di lokap polis.
Sempat merasa masuk penjara yang sebenar, Jumaat lalu pelakon yang 
pernah membintangi drama Anak Pontianak itu bagaimanapun dibebaskan 
dengan ikat jamin oleh adik perempuan tirinya sebanyak RM2,000. Zarina, 
27, yang berbaju kelabu dan berseluar merah jambu, dijamin kira-kira 
pukul 10 pagi (Jumaat) di bilik jamin Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Kes itu akan disebut semula 8 Februari nanti. Dakwaan ke atas Zarina 
dan rakannya dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 
1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang 
memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 
atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zarina yang dihubungi Sensasi Bintang bagaimanapun tidak sempat untuk
 berbual panjang kerana keletihan dan kehabisan bateri telefon.
"Betul saya ditahan, kena dua malam dalam penjara dan lega sekarang 
dibebaskan. Maaf saya tak dapat berbual panjang, telefon saya kehabisan 
bateri," katanya dalam nada biasa.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi telah 
mengeluarkan kenyataan bahawa artis wanita tersebut berkemungkinan 
dipecat sebagai ahli Seniman sekiranya dia didapati bersalah dalam hal 
ini.
"Kita tidak mahu artis yang terlibat dalam kontroversi menjejaskan 
nama baik artis lain. Dalam kes Zarina, buat sementara ini kita akan 
gantung keahliannya kerana mahkamah belum lagi membuat keputusan."
"Sekiranya mahkamah mendapati dia bersalah, Seniman akan memecatnya daripada menjadi ahli," ujar Zed Zaidi.
Mengulas lebih lanjut mengenai isu ini, Zed Zaidi turut memaklumkan 
bahwa mana-mana artis yang telah dipecat sebagai ahli Seniman, secara 
automatik akan turut dibuang daripada senarai Finas.
"Ini adalah syarat yang tertakluk dalam Padu Citra yang mewajibkan pelakon menyertai persatuan yang diiktiraf Finas."
"Jika masih ada produksi yang mengambilnya berlakon, kita boleh ambil tindakan," tegas Zed Zaidi.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan