
GRUP yang terkenal dengan lagu Kucing Hitam ini akan membawa nama Malaysia ke India. 
GRUP yang sudah muncul dengan dua buah album ini mula ditubuhkan pada
 tahun 2004 oleh Herri dan Zabil. Berteraskan minat yang likat dalam 
muzik, dua kepala ini bergabung di atas nama Bittersweet dan muncul 
dengan sebuah EP dengan lagu Something Much Greater (2005) dan Night and
 Morning Tales (2005). Awalnya mereka hanya suka-suka.
Mengukuhkan lagu kekuatan formasi grup, Pijie (vokal/tamborin), 
Hafiez (gitar), Emai (keyboard/synths), Dinie (bass) dan pemuzik 
undangan, Alang sebagai pemain drum melengkapkan Bittersweet. Mereka 
kemudian muncul kali pertama di Paul's Place pada Ogos 2004 dan mula 
mengumpulkan peminat.
Bergerak secara bebas, single dengan judul A Perfect Match yang 
diluncurkan pada Jun 2006 menjadi senjata utama Bittersweet kepada 
padang pendengaran khalayak. Lagu ini kemudian mendapat respons yang 
baik dan impresif daripada pihak stesen radio dan para peminat 
khususnya. 
Album perdana dengan tajuk A Perfect Match kemudian menjadi taruhan 
utama mereka pada penghujung tahun 2006. Album ini telah dirakamkan di 
101 Studio setelah melalui proses kreatif selama dua minggu. 
Mengalir pengaruh British pop/rock dalam jiwa mereka, nama 
Bittersweet sendiri diambil sempena salah sebuah lagu nyanyian grup The 
Verve kelahiran Wigan, England iaitu lagu Bittersweet Symphony.
Mereka muncul dengan album kedua yang bertajuk Empire's Transition yang mengandungi 13 buah lagu pada 2011. 
Kini perjalanan Bittersweet bukan sekadar di tanah sendiri. 
Berbariskan Herri (gitar utama), Moon (gitar rhytm), Emai (keyboard), 
Erfan Iskandar (drum), Afiq (bass), dan Fizan (vokal), gabungan anggota 
lapisan lama dan baharu, perjalanan Bittersweet sudah melangkah jauh ke 
luar tanah air. 
Buktinya, grup berasal dari Perak ini bakal berangkat ke Chennai, 
India untuk membuat persembahan di Festival Muzik Saarang 2013 pada 7 
hingga 13 Januari ini. 
Saarang ialah festival budaya yang diadakan setiap tahun dan 
merupakan salah sebuah festival muzik terbesar di India. Festival ini 
berlandaskan platform pameran kreativiti dan tenaga untuk para belia 
yang mempunyai produk yang baik. 
Festival ini merupakan pentas permainan nama-nama besar seperti 
Shankar-Ehsan-Loy, Vishal-Shekhar, Sonu Niigam, Kay Kay, Shaan dan Zakir
 Hussain. Grup seperti Pain of Salvation, Opeth, Hammerfall dan Vidharta
 juga turut membuat persembahan di acara yang sama. 
"Kamal Hasan, Shriya Saran, Gautham Menon, Shashu Tharoor dan Arun 
Shourie ialah nama-nama yang bakal memeriahkan festival ini. Ini diikuti
 dengan persembahan oleh Me and My Drummer dari Jerman, Jay Hoad dari 
Australia, Anathema dari United Kingdom dan kami, dari Malaysia," ujar 
anggota Bittersweet beberapa hari sebelum terbang ke Chennai. 
"Kami akan beraksi selama sejam 30 minit pada festival itu nanti. 
Sudah tentu perasaan teruja ada dalam diri kami kerana dapat melakukan 
persembahan di salah sebuah festival budaya terbesar di India. 
Perbelanjaan kami ke sana ditaja oleh History Records," ujar mereka 
bersama.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan