Ahad, 6 Januari 2013

Dafi berhenti jadi pengacara



BEKAS bintang kelahiran program Akademi Fantasia ini kini sibuk dengan rakaman album terbaharunya.

PADA awal tahun lalu, penyanyi Dafi membuat keputusan untuk mencuba nasib menembusi pasaran hiburan di Indonesia, biarpun ia dilihat satu langkah yang agak sukar.

Ternyata tuah memihak kepada bekas bintang Akademi Fantasia 5 itu apabila dia dilamar menjadi artis residen syarikat penerbitan Trans Corp. Kerjaya Dafi di seberang bermula pada 12 Januari tahun lalu untuk sebuah program hiburan berjudul Selebrita.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 24, dilihat lebih kerap menghabiskan masa di Malaysia sehingga menimbulkan tanda tanya sama ada dia masih lagi mengembangkan karier di Indonesia atau sebaliknya.

Ketika ditemui semasa majlis pelancaran eMall Karangkraf yang diadakan di The Curve Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini, Dafi bercerita tentang mengapa dia kini lebih kerap kelihatan berada di Malaysia.

KOSMO! AHAD: Apa perkembangan terkini Dafi?

DAFI: Sejak Ogos yang lalu saya memang banyak menghabiskan masa di Malaysia dan kini baru sahaja selesai menjalani rakaman lagu untuk album kedua yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Album tersebut mengandungi enam buah lagu dan saya bekerjasama dengan komposer Ajai. Rakaman telah selesai dilakukan dan kini sedang dalam proses mencari tajuk dan konsep kulit album yang sesuai.

Dengan pasaran album yang agak perlahan sekarang, apakah yang mendorong Dafi untuk menghasilkan album baharu?

Kali terakhir saya menghasilkan menghasilkan album adalah pada tahun 2008 yang berjudul Seumur Hidup. Jadi sudah tiba masanya untuk saya lahir dengan sebuah produk yang baharu.
Lagipun peminat juga pasti akan berasa bosan sekiranya saya menyanyikan lagu yang sama setiap kali membuat persembahan. Jadi, saya sanggup ambil risiko dengan mengeluarkan duit sendiri untuk menerbitkan album baharu.

Bagaimanakah pula dengan karier Dafi di Indonesia?
Buat masa ini kerjaya saya di sana masih lagi seperti biasa, namun kontrak saya bersama Trans Corp akan berakhir pada pertengahan bulan (Januari) ini dan saya akan berbincang dengan mereka tentang sambungan kontrak dalam masa terdekat ini.

Cuma saya ingin memberitahu yang kini saya tidak lagi menjadi pengacara untuk program Selebrita. Setelah berasa diri tidak sesuai bergelar pengacara, akhirnya saya menarik diri.
Adakah Dafi menyesal menerima tawaran menjadi pengacara dahulu?

Saya tidak pernah menyesal kerana sekurang-kurangnya saya sudah mencuba sebaik-baiknya serta mendapat banyak pengalaman. Mungkin disebabkan jiwa saya lebih kepada menjadi penyanyi, lebih baik saya fokus kepada bidang nyanyian sahaja.

Ketika mula-mula mendapat peluang mengembangkan kerjaya seni di Indonesia dahulu, saya tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi dan mahu nama saya bertapak kukuh dan dikenali peminat di sana terlebih dahulu.

Apabila ditawarkan menjadi pengacara saya berpendapat lebih baik jika menerimanya. Sekurang-kurangnya menerusi cara sebegitu saya akan lebih dikenali peminat dan barulah mudah untuk memasarkan diri di sana.

Apakah yang Dafi akan lakukan untuk meneruskan karier di Indonesia?
Selepas selesai penerbitan album baharu nanti saya sudah merancang menghasilkan sebuah single khusus untuk pasaran di Indonesia dan akan menggunakan khidmat komposer di negara berkenaan.
Selain itu, saya juga bersedia menerima sebarang tawaran berlakon sinetron, dengan syarat tidak memegang watak yang besar. Saya bimbang tidak dapat memberi sepenuh komitmen memandangkan penerbitan sinetron mengambil masa lama sehingga beratus-ratus episod.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan