Matlamat kahwin, karier 2013
|
PERTEMUAN pada lewat petang usai siaran langsung Indonesia Mencari
Bakat musim ketiga (IMB 3) hujung minggu lalu membuahkan secebis bicara
bersama pemilik nama Rini Fatimah Jaelani atau nama pentasnya, Syahrini,
33.
Tidak tertanggung gelak dan tawa sepanjang sesi bicara, Syahrini
adakalanya cuba menyusun buah kata yang terpacul daripada kuntuman manis
bibirnya bertutur menggunakan slanga Melayu berbanding bahasa
ibundanya, bahasa Indonesia.
Katanya, pengalaman bercinta lebih setahun dengan pemuda kelahiran
Malaysia, Bubu membolehkan dirinya bertutur menggunakan slanga Melayu
biarpun sekadar bertaraf amatur.
"Walaupun tak sempat menjadi warganegara Malaysia, saya faham dan
boleh berbicara sedikit sebanyak menggunakan bahasa Melayu. Nyata sekali
tidak jauh bezanya," lantunnya berseloroh.
Memiliki sisi peribadi yang sentiasa ceria dan tidak lekang senyuman,
Syahrini yang ditemui di stesen televisyen Trans TV (Televisi
Transformasi Indonesia), Jakarta, Indonesia baru-baru ini tidak lokek
berkongsi cerita terbaharunya termasuk kisah cinta.
Perpisahan dengan usahawan jual beli emas dari Malaysia, Bubu atau
nama sebenarnya, Raja Mohamad Syazni Raja Mohamad Rashid bermula awal
tahun 2011 menambahkan keakraban dan kedekatan Syahrini dengan Malaysia.
Biarpun usia percintaan mereka tidak berpanjangan, kata Syahrini,
sekurang-kurangnya dia sempat mempelajari adat, budaya dan sosioekonomi
Malaysia.
"Kami berpisah secara baik dan saya tidak ada masalah untuk terbang
ke Kuala Lumpur jika terdapat sebarang urusan di sana, kerana Malaysia
juga seperti rumah kedua saya," jawabnya ketika ditanya mengenai
kesudian bertandang ke negara bekas kekasihnya itu.
Cinta
Melanjutkan bicara, ujar pelantun lagu Kau Yang Memilih Aku itu,
selepas perpisahannya dengan Bubu dia masih belum memikirkan soal
mencari pengganti lain atau berkahwin.
"Sehingga saat ini belum ada lagi lelaki lain yang bertakhta di hati
saya. Fokus saya pada karier nyanyian sahaja," katanya yang menolak
faktor usia yang barangkali menjadi kewajipan untuk berumah tangga dalam
masa terdekat.
|
|
Bagaimanapun, Syahrini memohon agar pihak luar termasuk peminat menghormati privasi dan memberi ruang kepadanya.
"Ada sisi kehidupan kita sebagai manusia biasa yang tidak sesuai
diberitahu kepada semua dan mohon supaya menghormati privasi itu. Benar
saya seorang figura umum tetapi tidak semua hal perlu saya maklumkan,"
getus penyanyi kelahiran Bogor, Jawa Barat itu.
Ironi situasi yang menjadi punca perpisahan dirinya dan Bubu,
Syahrini mengakui, limpahan pendedahan dan populariti yang datang
mendadak membuatkan hubungan tersebut tidak kekal lama.
Sebelum menjalinkan hubungan dengan Bubu, Syahrini pernah dikaitkan
dengan penyanyi merangkap komposer terkenal, Anang Hermansyah serta
beberapa lelaki lain.
Ditanya mengenai kriteria pasangan yang ingin dicarinya, jawab Syahrini dia tidak menetapkan sebarang syarat.
Ujarnya: "Tiada kriteria spesifik untuk mencari pasangan hidup,
sesiapa sahaja boleh. Jika latar belakang lelaki itu terdiri daripada
golongan berada, itu semua rezeki yang Tuhan aturkan."
Karier
Syahrini antara selebriti yang meraih sukses dalam karier sepanjang
tahun 2012. Kemunculan album keduanya berjudul Semua Karena Cinta pada
awal bulan Disember lalu menyuntik sedikit lonjakan kerjaya seni
suaranya.
Album yang mengandungi 10 buah lagu antaranya Aku Tak Biasa,
Taubatlah Taubat, Sesuatu dan Tatapan Cinta itu melibatkan kerjasama
dengan komposer seperti Risna Ories, Pasha Ungu dan Anang sendiri.
Menariknya, Syahrini umpama seorang selebriti pencetus trend semasa
kepada peminat memandangkan percakapan, gaya rambut serta fesyennya
sering menjadi ikutan ramai.
"Saya amat bersyukur karier berjalan lancar sepanjang tahun 2012.
Jika boleh untuk tahun 2013 saya mahu bikin album baharu, sebuah konsert
mini dan sikap yang lebih baik," jelas Syahrini.
Selain itu, kesihatan menjadi prioriti kepada Syahrini untuk kekal
aktif sebagai anak seni. Biar belum bertemu jodoh hingga kini, dia turut
menyasarkan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini.
"Tahun ini saya mahu kekal sihat, lebih matang dan dewasa sikap,
mudah-mudahan tahun ini juga saya bertemu jodoh dan diharapkan jejaka
itu orang senegara. Kalau tidak, susah juga nak buat majlis kahwin
antara dua negara," tuturnya tertawa mengekeh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan