Sabtu, 5 Januari 2013

Zzati nafi manipulasi Wan Zack Haikal

HUBUNGAN Zzati dan Wan Zack baru berusia kira-kira setahun.


KALI pertama mendengar namanya, pasti ramai yang bertanya siapakah gerangan Zzati Rashid ini.

Mungkin ada yang menyangka gadis berusia 19 tahun ini merupakan seorang pendatang baharu yang mula bertapak dalam industri seni.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melihat gambar mesranya bersama pemain bola sepak skuad Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Noor, pasti ramai yang tersenyum apabila mengetahui gadis ini sebenarnya merupakan teman wanita pemuda tampan itu.

Jangan terkejut kerana Zzati sebenarnya seorang penyanyi yang bernaung di bawah label MVM Production Sdn. Bhd. sejak tahun 2010 dan telah pun merakamkan tiga buah single.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama dengan gadis yang berasal dari Bandar Jengka, Pahang ini.
Kosmo!: Ceritakan sedikit mengenai sejarah perjalanan karier Zzati dalam bidang nyanyian.

ZZATI: Saya bermula sebagai penyanyi di funfair sekitar tahun 2009 sehingga 2011. Pada ketika itu, saya sering membuat persembahan di funfair seluruh Malaysia. Selain itu, saya sering membuat persembahan di majlis-majlis korporat memandangkan ayah saya merupakan seorang perunding majlis. Pada tahun 2009, saya merakamkan single pertama saya secara independent yang berjudul, Bukan Sombong

Bagaimanakah Zzati mulai serius dalam bidang ini?
Selepas lagu Bukan Sombong mula dimainkan di corong-corong radio, syarikat rakaman MVM mula 'melamar' saya untuk dijadikan artis rakaman produksi itu, dan seterusnya menerbitkan dua buah lagi single iaitu Akan Ku Nanti dan Cintaku Hanya Padamu pada tahun 2010. Pada bulan November lepas, saya baru sahaja mengeluarkan single terbaharu yang berjudul, Malu Malu Mahu.

Boleh ceritakan tentang sambutan terhadap single terbaharu Zzati itu?
Sambutan yang diberikan memang menggalakkan dan saya berasa gembira kerana mempunyai peminat sendiri yang sering mengikuti perkembangan semasa diri ini.

Namun, kenapakah lagu anda jarang kedengaran di radio dan ramai yang masih belum mengenali anda?

Saya rasa mungkin disebabkan faktor status diri ini sebagai seorang pelajar. Saya perlu bijak membahagikan masa antara belajar dan nyanyian dan hanya menerima undangan nyanyian pada waktu senggang sahaja. Selain itu, saya lebih banyak menerima undangan nyanyian untuk majlis-majlis korporat berbanding konsert terbuka. 

Baru-baru ini, ramai yang memperkatakan tentang gosip mengenai hubungan cinta anda dengan pemain bola sepak skuad Harimau Malaya, Wan Zack Haikal. Setuju tak kalau dikatakan bahawa orang lebih mengenali anda sebagai teman wanita Wan Zack berbanding sebegai seorang penyanyi?
Saya tidak menafikan bahawa gosip itu turut menjadi faktor untuk orang lebih mengenali saya. Kini orang lebih mengenali siapa itu Zzati Rashid.

Adakah ini bermakna bahawa Zzati memanipulasikan populariti Wan Zack sebagai platfom untuk lebih dikenali dalam bidang nyanyian?

Itu tidak benar sama sekali! Saya berkawan serius dengan Wan Zack sebelum namanya menjadi bualan ramai lagi, iaitu sejak setahun yang lepas. Saya pula sudah mula merakamkan single dengan MVMProduction pada tahun 2010. Kami berada dalam bidang yang berbeza dan mempunyai pengikut masing-masing.

Tetapi kenapakah baru kini, selepas nama Wan Zack berada di puncak, Zzati tiba-tiba muncul untuk mempromosikan lagu-lagu anda? Kenapa tidak daripada dahulu?

Seperti yang saya katakan tadi, sebelum ini saya mempunyai kekangan dari segi masa memandangkan ketika single pertama dan kedua diterbitkan oleh MVM Production, saya sedang belajar di tingkatan lima. Sehingga kini, barulah saya berkesempatan untuk memberikan tumpuan kepada promosi meskipun masih lagi bergelar seorang pelajar dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tidakkah risau a hubungan cinta Zzati dan Wan Zack akan mengalami masalah memandangkan anda berdua kini telah pun dikenali ramai?

Saya percaya dengan ketentuan takdir dan jodoh yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Hubungan cinta kami pun masih baru lagi dan saya hanya boleh katakan bahawa kita hanya mampu merancang, namun takdir yang menentukan segalanya. Apa yang pasti, kami saling menyokong karier masing-masing dan menjaga kelakuan kami agar tidak timbul gosip-gosip yang kurang enak didengar.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan