Rabu, 4 September 2013

FAS mahu jawapan positif FAM berhubung isu pinda tarikh


PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan maklum balas positif berhubung pindaan tarikh aksi Kumpulan D Piala Malaysia antara Sarawak dan Lions XII, lapor MULLER ASEN.

Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata, respons itu perlu dilakukan segera bagi memudahkan persiapan skuad Bujang Senang selain memulihkan kemarahan serta ketidakpuasan hati peminat Ngap Sayot.

"Meskipun tarikh perlawanan diubah pada 18 September, namun kami tetap mahu aksi pada 17 September diteruskan seperti mana kesemua perlawanan lain.

"Para peminat sudah tidak mahu mendengar pelbagai alasan, sebaliknya ingin melihat kedua-dua pasukan beraksi pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini," kata Abdullah ketika dihubungi Kosmo! di Kuching semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai 'layanan istimewa' yang diterima Lions XII daripada FAM sehingga memberikan 'lampu hijau' kepada skuad bimbingan V.Sundramoorthy beraksi lewat sehari berbanding pasukan lain.

Difahamkan, pertukaran tarikh perlawanan itu disebabkan Lions XII beraksi pada Pestabola Merdeka di Kuantan, Pahang pada 7 hingga 14 September ini.

Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu, FAS telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FAM minggu lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, setakat ini, FAS belum lagi menerima sebarang maklum balas atau maklumat berhubung pindaan tarikh perlawanan tersebut.

"Tapi kita percaya, FAM akan memberikan respons positif dalam tempoh kurang seminggu lagi. Jadi buat masa ini, kita hanya menunggu jawapan daripada FAM.

"FAM perlu membuat keputusan bijak demi kepuasan hati kedua-dua pasukan. Mereka kena ingat, peminat sekarang tidak boleh menerima lagi alasan berat sebelah," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan