Kuala Lumpur: Harimau Malaya terus ditimpa malang apabila mencatat kekalahan keenam berturut-turut tahun ini selepas tumbang 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa menentang China, semalam.

Pada perlawanan di Stadium Olimpik Tianjin itu, barisan bimbingan Datuk K Rajagobal dilihat gagal bangkit selepas ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan kapten China, Zhi Zheng pada minit ke-42.
Kebangkitan yang diharapkan pada babak kedua juga tidak menjelma apabila China yang gah menewaskan Singapura 6-1, Jumaat lalu terus garang dengan gol kedua menerusi pemain tengah, Xuri Zhao pada minit ke-57.


Kali terakhir Malaysia mencatat kemenangan tahun ini ialah ketika menentang pasukan kelab, Sydney Olympic 3-0 di Australia.

Pertemuan persahabatan terakhir skuad negara menentang pasukan bertaraf kebangsaan ialah dengan Palestin di Stadium Shah Alam, Mac lalu apabila tumpas 2-0.