Selasa, 10 September 2013

FAM turun harga tiket Pestabola

  Berita Harian
 
Kuantan: Harga tiket bagi menyaksikan kejohanan Pestabola Merdeka yang sedang berlangsung di sini akan diturunkan bermula dengan perlawanan ketiga yang berlangsung serentak di Stadium Mini Temerloh dan Stadium Darulmakmur.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara berkenaan diputuskan oleh pihaknya selepas berbincang dengan penganjur kejohanan ProEvents International (M) Sdn Bhd.
Lanjut kontrak


Menurutnya, harga tiket bagi tempat duduk bebas dan grandstand di Stadium Darul Makmur diturunkan masing-masing kepada RM20 dan RM50 berbanding RM38 dan RM68 sebelum ini, manakala perlawanan antara Singapura dan Myanmar di Stadium Mini Temerloh pada RM20 dan RM25 berbanding RM28 dan RM38 sebelum ini.

“Saya berharap penurunan harga ini akan membolehkan peminat di Pahang dapat hadir bagi menyaksikan perlawanan,” kata Hamidin sambil menjelaskan harga tinggi yang ditetapkan sebelum ini tidak dapat dielakkan disebabkan kos perbelanjaan kejohanan yang tinggi.

Dalam perkembangan lain Hamidin berkata, FAM akan berbincang dengan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkaitan lanjutan kontrak pemain.

Jangan pancing pemain
“Kita maklumkan kepada Datuk Afandi Hamzah (Naib Presiden FAM) yang juga pengurus pasukan bawah 23 Tahun serta Kim Swee supaya memberi laporan berkenaan pemain yang ingin mereka lepaskan serta kekalkan tahun depan,” katanya.

Menurutnya perkara itu dijangka diputuskan selewat-lewatnya pada Oktober. Hamidin turut mengingatkan pasukan yang berhasrat memancing pemain Harimau Muda A supaya tidak berbuat demikian dalam tempoh terdekat bagi membolehkan misi mempertahankan emas pada Sukan SEA di Myanmar Disember ini tercapai.

“Memang sukar untuk kita bendung komunikasi antara pengurusan kelab dan pemain-pemain muda ini, tetapi nasihat saya kepada pemain, jangan terlalu ghairah mengejar gaji lumayan. Gunakan peluang bersama skuad Kim Swee ini untuk menimba pengalaman dan selepas itu barulah cari kelab yang sesuai, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan