Ahad, 25 Ogos 2013

Teong Kim malas layan Butler


PENGARAH Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim menegaskan, beliau tidak perlu melayan kritikan bekas jurulatih T-Team, Terengganu dan Kelantan, Peter James Butler.
Teong Kim membuat kenyataan itu selepas Butler mempertikaikan kemampuannya.

Teong Kim berkata, beliau lebih berminat untuk menjalankan tugasnya mencari pemain-pemain muda berbakat bagi diketengahkan pada peringkat antarabangsa berbanding mendengar kritikan pengendali kelahiran England itu.

Bekas penolong jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich itu menegaskan, beliau tidak kisah dengan pandangan Butler yang dikatakan menghinanya sebagai jurulatih pengalaman di peringkat Eropah.

"Saya akui terkejut dengan (kenyataan) Butler dan saya tidak tahu apa yang berlaku.
"Malah, saya langsung tidak mengenali Butler. Saya tidak mahu mengambil kisah terhadap pandangannya.

"Saya boleh menerima kritikan dan saya tidak memerlukan 'motivasi' daripada beliau kerana saya sendiri yang memotivasi pemain dan jurulatih.

"Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak memerlukan 'motivasi' beliau," katanya kepada pemberita di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara semalam.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, Butler menerusi laman sosial, Twitternya mempertikaikan keputusan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bertindak melantik Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Insiden itu bukan yang pertama buat Butler kerana beliau pernah mengkritik Harimau Muda A, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh dan menyelar Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa di laman sosial.

Dalam perkembangan lain, Teong Kim berkata, beliau perlu banyak mengkaji sistem pembangunan yang sedia ada terutamanya melibatkan pendidikan pemain dan jurulatih.

"Saya pernah memberitahu perkara ini kepada Khairy bahawa kami perlu mengutamakan sistem yang tepat khususnya berkaitan pendidikan jurulatih dan pemain.

"Paling mustahak adalah cara kami untuk mengendalikan sistem itu. Tiada ada perbuatan yang sia-sia sekiranya kami membina infrastruktur yang memiliki harga tinggi tetapi tidak tahu cara untuk mengekalkannya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan