Gladiators, TRW  tembung di  Selayang 
Afandi (kanan) dan Hamidin mengumumkan perlawanan Tentera dan Kelantan di Stadium Selayang, di Kota Bharu, semalam.
 
Kota Bharu: Hajat Tentera untuk bertemu Kelantan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, 18 Oktober ini di Stadium Selayang tercapai selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan permohonan mereka untuk menukar semula gelanggang dari Stadium Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata keputusan itu dibuat selepas Persatuan Bola Sepak Tentera (PBAT) berjanji akan mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam permohonan semula yang dikemukakan mereka.
“Atas dasar itu akhirnya kami mengambil keputusan menimbang rayuan itu dan bersetuju supaya perlawanan itu diadakan semula di Stadium Selayang,” katanya pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad IV yang turut dihadiri Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.



Jaga tingkah laku

Afandi berkata, pihaknya memberi penekanan kepada Tentera sebagai tuan rumah untuk memastikan kelancaran perlawanan dan meningkatkan tahap keselamatan untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya juga menyeru supaya penyokong kedua-dua pasukan mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk memastikan kelancaran perlawanan,” katanya.
Tukar gelanggang

PBAT sebelum ini membuat permohonan kepada FAM untuk menukar gelanggang perlawanan dari Stadium Selayang ke Stadium Shah Alam atas faktor keselamatan dan ia dipersetujui badan induk berkenaan.

Namun, pemain The Gladiators membantah tindakan PBAT itu kerana berpendapat mereka lebih selesa beraksi di Selayang selain pertukaran gelanggang itu akan memberi kelebihan kepada juara bertahan itu yang mempunyai jumlah penyokong yang ramai.