Berlin: Thomas Mueller melakukan hatrik pada aksi pertama Bayern Munich dalam misi mempertahankan Piala Jerman apabila membelasah pasukan divisyen empat, BSV Rehden 5-0, awal pagi semalam.

“Sama seperti perlawanan lain ia sentiasa menghadirkan bahaya. Jadi saya gembira dengan kemenangan ini,” kata jurulatih Bayern, Pep Guardiola.
Xherdan Shaqiri membuka tirai jaringan Bayern pada minit ke-18 sebelum Mueller menanduk masuk hantaran Rafinha pada penghujung babak pertama. Mueller menjadikan kedudukan 3-0 hasil sepakan penalti pada minit ke-58 dan melengkapkan hatriknya menerusi tandukan minit ke-64.


Belum sempurna

Arjen Robben melengkapkan pesta Bayern dengan gol kelima ketika permainan berbaki dua minit. “Kami masih belum lagi sempurna. Kami belum pada tahap seratus peratus tetapi itu perkara biasa. Kami sudah bersedia untuk memulakan kempen Liga Jerman bertemu Borussia Monchengladbach, Jumaat ini,” kata Robben.

Pada satu lagi perlawanan, Klaas-Jan Huntelaar menjaringkan satu gol dan mencetuskan jaringan kedua pasukannya oleh Leon Goretzka untuk Schalke mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasukan divisyen lima, FC Noettingen 2-0. - AP