Isnin, 15 Julai 2013

Pemain 'pening' formasi Guardiola


BERLIN - Gara-gara sukar menyesuaikan diri dengan sistem baharu Pep Guardiola, Bayern Munich dikerah sebelum menang 4-0 ke atas kelab Divisyen Tiga Jerman, Hansa Rostock dalam aksi persahabatan semalam.

Bayern yang menewaskan Borussia Dortmund 2-1 di Wembley pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Mei lalu lebih selesa menggunakan formasi 4-2-3-1 ketika di bawah bekas jurulatih Jupp Heynckes.

Bagaimanapun, apabila bekas jurulatih Barcelona, Guardiola mengambil alih tugas Heynckes bulan lalu, formasi lama tidak digunakan lagi sebaliknya memperkenalkan formasi 4-1-4-1.

Formasi baharu tersebut menyebabkan kelab gergasi Jerman itu memerlukan masa untuk mengadaptasi sistem tersebut dalam kalangan pemain.

Dalam pada itu, pemain sayap Perancis, Franck Ribery menggambarkan sistem tersebut sebagai satu formasi yang amat kuat.

"Formasi tersebut jauh berbeza dengan apa yang biasa kami gunakan, tambahan pula sistem yang sebelum ini kami gunakan membolehkan kami meraih beberapa kejuaraan," kata Ribery.

Sementara itu, Guardiola memberitahu Bayern adalah pasukan yang hebat dan mampu menerima sistem baharu tersebut dengan baik.

"Pemain dalam kelab ini amat bijak, mereka telah memenangi tiga gelaran pada musim lepas. Kini mereka masih dalam proses untuk menerima sistem baharu.

"Pada separuh masa kedua tidak begitu baik namun kami masih mempunyai beberapa ujian lagi terutama ketika bertemu BVB (Borussia Dortmund) sebelum memulakan aksi musim Bundesliga," kata Guardiola.

Bayern dijadual menentang Dortmund dalam saingan Piala Super Jerman pada 27 Julai ini manakala saingan Bundesliga bakal bermula 9 Ogos ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan