Ahad, 4 Ogos 2013

Voeller ganti tempat Rajagobal?



RUDI VOELLER


SPEKULASI berhubung calon pengganti Datuk K. Rajagobal bertambah hangat apabila nama legenda Jerman, Rudi Voeller disebut-sebut sebagai prospek terkini pengendali Harimau Malaya.

Difahamkan, bekas jurulatih Jerman berusia 53 tahun itu bakal memainkan peranan yang lebih besar buat Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Rusia jika benar beliau mengambil alih tempat Rajagobal yang kontraknya bakal tamat pada 31 Disember depan.

Sumber memberitahu Kosmo!, Mueller juga dilihat calon sesuai membantu Harimau Malaya pada kempen Piala Asia di Australia pada 2015 jika skuad kendalian Rajagobal berjaya melepasi kempen kelayakan kali ini.

Ketika diminta mengulas mengenai spekulasi tersebut, pengkritik bola sepak, Zakaria Ab. Rahim mengalu-alukan kehadiran Mueller bagi menerajui skuad kebangsaan selepas ini.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, sasaran dan hala tuju Harimau Malaya perlu diperhalusi jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat melantik Mueller sebagai jurulatih.

“Tidak salah berbelanja lebih bagi mendapatkan Mueller sebagai jurulatih bagi memburu kejayaan yang lebih besar buat skuad Harimau Malaya.

“Bagi saya, tiada gunanya melantik jurulatih berprofil tinggi seperti beliau sekiranya sekadar mahu merampas kembali trofi Piala Suzuki AFF... lebih baik lantik jurulatih tempatan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak menolak kemungkinan memburu khidmat jurulatih baharu selepas kontrak Rajagobal tamat pada 31 Disember depan.

Pada masa sama, khidmat Rajagobal yang dilantik pada 20 April 2009 juga berkemungkinan disambung jika berjaya melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan FAM iaitu Harimau Malaya melepasi peringkat kelayakan kempen Piala Asia 2015.

Antara calon-calon yang disebut-sebut menduduki ‘kerusi panas’ itu selepas ini termasuklah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak, Robert Alberts; pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee dan juga bekas pengendali Harimau Malaya, B. Sathianathan.

Mengulas lanjut, Zakaria juga menyarankan skuad Harimau Muda A atau Harimau Muda B menggalas cabaran negara pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 jika dikendalikan Mueller.

“Persediaan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia perlu bermula awal, jadi ada baiknya ia membabitkan skuad muda negara.

“Selain itu, skuad negara juga wajar membuat persiapan di sana (Jerman) jika Mueller menjadi jurulatih sebagai pendedahan awal,” katanya.

Mueller yang pernah membimbing beberapa kelab terkemuka dunia seperti AS Roma dan Marseille ketika ini bertindak sebagai Pengarah Sukan kelab Jerman, Bayer Leverkusen sejak 2005.

Beliau pernah membantu The Team mara ke final Piala Dunia 2002 sebelum meletak jawatan sebagai jurulatih ekoran kegagalan Jerman yang tersingkir awal pada kempen Euro 2004.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan