Jumaat, 6 September 2013

Skuad Pestabola ditakrif mantap

Oleh Syed Riduan Ahmad 
Kuantan: Kesebelasan utama skuad bawah 23 negara yang bakal memulakan saingan Pestabola Merdeka bertemu Singapura esok akan diumumkan pagi ini oleh pengendalinya, Ong Kim Swee.

"Saya belum memutuskan sepenuhnya siapa yang akan diturunkan, begitu juga dengan skuad 22 pemain yang akan disenaraikan pada perlawanan bertemu Singapura nanti.
"Kita terpaksa mengetepikan tiga pemain pada setiap perlawanan dan ini akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti kecederaan, kecergasan atau taktikal permainan.


25 dibawa ke Kuantan

"Kita mempunyai beberapa pilihan di bahagian tengah dan depan, hanya di benteng pertahanan saja pilihan agak terhad. Namun, keutamaan saya adalah pemain yang boleh beraksi di beberapa posisi," katanya selepas sesi latihan di Akademi Bola Sepak Negara di Gambang, Pahang semalam.

Daripada senarai 25 pemain yang dibawa ke Kuantan, hanya seorang pemain - Nazirul Naim Che Hashim yang masih mengalami kecederaan manakala Nazmi Faiz Mansor sudah mula menjalani latihan penuh bersama pasukan semalam.

"Buat masa ini tiada masalah kecederaan serius di dalam pasukan, Junior (Eldstal) tidak berlatih penuh kerana kakinya melecet.
Temu Singapura esok

"Berbeza dengan kejohanan-kejohanan sebelum ini di mana kita terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama. Kali ini saya boleh katakan pilihan lebih luas walaupun kita kehilangan pemain berpengalaman seperti Izzaq (Faris Ramlan), Fandi (Othman), Hazwan (Bakri), Kecik (Wan Zaharulnizam Zakaria), Amer (Saidin) dan Gary (Steven Robbat).

"Memandangkan kita akan bermain selang sehari, saya perlu membentuk dua pasukan yang seimbang untuk memastikan kita mempunyai skuad yang benar-benar cergas pada setiap perlawanan," kata Kim Swee yang mengakui barisan pemainnya kali ini lebih lengkap.

Skuad negara akan bertemu Singapura B-23 di Stadium Darul Makmur pada jam 5.30 petang esok manakala pasukan pilihan Thailand bertemu Myanmar B-23 di gelanggang sama pada jam 8.45 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan