Jumaat, 23 Ogos 2013

Jangan takut lepas pemain

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN - Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swe menyeru mana-mana pasukan negeri dan kelab yang sudah memiliki atau ingin menyunting pemain bawah 23 tahun negara agar tidak takut melepaskan pemain mereka yang dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan. 

"Saya harap kelab dan pasukan bola sepak negeri tidak bimbang tentang pemain-pemain ini apabila kita panggil untuk bermain di Pestabola Merdeka 2013 mahupun Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan.

"Biarkan mereka fokus sebab kita bermain untuk negara. Saya harap semua pasukan memahami ini dan saya percaya jika kita bekerjasama, kita akan mencapai kejayaan terbaik untuk pasukan bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pestabola Merdeka edisi ke-41 yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Mengenai kejohanan Pestabola Merdeka yang akan bermula dari 7-14 September depan, Kim Swee berkata, beliau akan memastikan pasukan negara mencapai kejuaraan pada edisi kali ini.

"Setiap kejohanan yang kita sertai sudah pasti kita akan cuba menjadi juara dan di sini saya boleh katakan yang kita akan cuba sedaya-upaya untuk menjadi juara selepas pada edisi lalu kita sekadar muncul naib juara," katanya.

Ditanya mengenai kemasukan tujuh pemain bagi memperkuatkan skuad bawah 23 tahun negara bagi menghadapi saingan Pestabola Merdeka, Kim Swee nyata gembira dengan situasi positif tersebut.

Tujuh pemain berkenaan ialah Mohd. Fadhli Shas dari Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor (Ryukyu FC), K. Reuben (Angkatan Tentera Malaysia), Mohamad Nazmi Faiz Mansor (PKNS) dan Mohd. Zubir Azmi (Terengganu), Nik Shahrul Azim Abd. Halim (Kelantan) dan Junior Eldstal (Sarawak).

Bekas pemain kebangsaan itu mengharapkan kesemua pemain terbabit berada di tahap kecergasan terbaik bagi membantu Malaysia merangkul kejuaraan. 

Katanya lagi, Singapura, Thailand dan Myanmar adalah tiga pasukan hebat yang mampu memberi cabaran serius kepada Malaysia pada kejohanan kali ini. 

"Mereka menjadikan Pestabola Merdeka sebagai platform untuk menghadapi Sukan SEA," katanya.
Ini adalah kali pertama kejohanan berprestij ini diadakan di luar Kuala Lumpur iaitu di Kuantan dan Temerloh. Kali terakhir kita menganjurkannya adalah pada 2008.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan