![]()
SKUAD Harimau Muda tiba di KLIA petang semalam selepas ‘berguru’ lima bulan di benua Eropah.
|
SEJAUH mana keberkesanan Harimau Muda ‘berguru’ di Eropah hanya boleh
dinilai pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.
Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar kecil) berkata,
sebarang spekulasi negatif yang mendakwa anak-anak buahnya sekadar
‘makan angin’ ekoran beberapa keputusan kurang memberangsangkan semasa
aksi persahabatan di Eropah wajar dihentikan segera.
Sebaliknya, Kim Swee mencabar ‘kejantanan’ setiap pemainnya berjuang
bermati-matian dalam usaha melakar kejayaan hatrik ‘ibu emas’ pada
temasya Sukan SEA kelak.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya berazam mahu memburu emas hatrik pada temasya Sukan SEA.
“Soal sama ada latihan kami di Eropah sia-sia ataupun tidak... tunggu Sukan SEA.
“Jika kami gagal melangkah ke separuh akhir Sukan SEA nanti, barulah
boleh kata sia-sia,” katanya kepada pemberita sebaik skuad Harimau Muda
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang
semalam.
Skuad Harimau Muda yang menimba ilmu di Eropah sejak 16 Mac lalu
melakar tiga kemenangan, empat seri dan selebihnya tewas sepanjang 17
aksi persahabatan di sana.
Anak-anak buah Kim Swee juga ‘menutup buku’ dengan kekalahan 1-5 kepada kelab liga utama Slovakia, FC Vion pada 31 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Kim Swee juga membayangkan bakal memanggil beberapa
pemain baharu seperti Nik Shahrul Azim Halim, Zubir Azmi, K. Reuben dan
Putera Nadher Amarhan Maderner atau Junior Edstal bagi menghadapi
Pestabola Merdeka yang akan membuka tirainya di Kuantan, Pahang pada 5
September depan.
Menurut beliau, beberapa pemain utama seperti Izzaq Faris Ramlan,
Fandi Othman, Amir Saidin dan Nurridzuan Abu Hassan mengalami kecederaan
ketika di Eropah dan belum pasti belum dapat beraksi pada kejohanan
berkenaan.
“Saya akan menilai semula pemain... mungkin empat atau lima pemain
baharu akan dipanggil. Cuma, pemain yang dipanggil perlulah memiliki
prestasi semasa yang bagus,” katanya.
Pada masa sama, Kim Swee juga menafikan spekulasi yang mengaitkan
beliau sebagai pengganti Datuk K. Rajagobal sebaik kontrak pengendali
Harimau Malaya itu tamat pada 31 Disember depan.
“Fokus saya ketika ini hanya mahu memburu emas hatrik temasya Sukan
SEA, jadi cukup-cukuplah dan hentikan spekulasi seperti ini,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan