JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin skuad Gergasi Merah
berhak untuk dinobatkan sebagai juara pada kempen Piala Malaysia 2013.
Irfan menyuarakan keyakinan itu berdasarkan tiga faktor utama.
“Kami berjaya membuktikan kualiti sebenar kami pada saingan Liga
Super musim ini. Selangor menjadi pasukan yang merekodkan kekalahan
paling sedikit iaitu dua kali sepanjang kempen tersebut.
“Kedua, selaku juara 32 kali pada kempen Piala Malaysia, Selangor
berjaya menewaskan pasukan yang menduduki kelompok empat teratas pada
saingan Liga Super musim ini termasuk juara, Lions XII.
“Selain itu, Selangor juga mahu menyahut cabaran pengurusan Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS), sekali gus memberikan ‘hadiah’ istimewa
kepada bekas Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan
penggantinya, Rosman Mohd. Ibrahim.
“Kami mahu menamatkan kempen Liga Malaysia tahun ini dengan mendakap
sekurang-kurang satu trofi iaitu Piala Malaysia 2013,” kata Irfan kepada
Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Irfan berkata, akan-anak buahnya berada dalam motivasi terbaik untuk
mengharungi kempen Piala Malaysia 2013 yang akan membuka tirainya pada
20 Ogos depan.
“Jika tanya saya kenapa Selangor patut dinobatkan sebagai juara, itulah jawapannya.
“Kami sentiasa optimis tetapi skuad Gergasi Merah sebenarnya boleh
dikatakan seperti harimau yang ‘terluka’ pada kempen edisi ke-87 Piala
Malaysia kali ini.
“Sebenarnya, Selangor patut menjulang trofi Liga Super musim ini
tetapi tuah tidak menyebelahi kami apabila kami mencatat keputusan seri
paling banyak (10 kali) selain terkandas di aksi suku akhir pada kempen
Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT).
“Oleh sebab itu, kami tidak rela kempunan lagi dan saya optimis
bahawa skuad kendaliannya saya akan berjuang habis-habisan untuk
mengakhiri kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan meraih sekurang-kurang
satu trofi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Perak itu menegaskan,
skuad Gergasi Merah tetap meneruskan ‘Misi 33’ yang sering menjadi
matlamat utama mereka pada kempen Piala Malaysia.
“Sudah tentu, kami telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali
dan ‘Misi 33’ itu akan diteruskan sehingga kami berjaya merangkul
kejuaraan tersebut.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Selangor semakin terdesak
untuk menjulang trofi Piala Malaysia dan kami akan fokus satu demi satu
perlawanan,” ujarnya.
Untuk rekod, Selangor diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
Sime Darby dan Johor untuk aksi Kumpulan A Piala Malaysia 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan