Isnin, 26 Ogos 2013

ATM akhiri badi temu Selangor



PERTAHANAN Selangor, Mohd. Asraruddin Putra Omar (kiri) menghalang gerakan Hairuddin pada aksi di Stadium Shah Alam kelmarin.


BADI yang membelenggu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setiap kali bertemu Selangor akhirnya ternoktah selepas melakar kemenangan tipis 3-2 dalam aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam kelmarin.

Sudah tentu pengendali ATM, B. Sathianathan merupakan individu paling gembira dengan kemenangan itu, sekali gus membuka semula peluang The Gladiators mengintai slot ke suku akhir.
Menurut beliau, persembahan anak-anak buahnya wajar dipuji biarpun tampak kehilangan fokus pada penghujung perlawanan.

"Ketika penghujung perlawanan, badi kami seakan-akan berulang apabila mendapat tekanan daripada lawan.

"Namun, saya gembira dengan kemenangan ini kerana berjaya menamatkan badi selepas enam kali bertemu mereka setakat ini," kata Sathianathan selepas tamat perlawanan itu.

Kapten ATM, Hairuddin Omar cemerlang memecah kebuntuan seawal minit ke-15 sebelum penyerang tuan rumah, Amri Yahyah menyamakan kedudukan pada minit ke-30.

ATM kembali di depan empat minit sebelum babak pertama berakhir menerusi jaringan cantik Fitri Omar sebelum Christie Jayaseelan menggandakan kelebihan The Gladiators pada minit ke-47.

Pemain sayap Selangor, S. Kunanlan berjaya merapatkan kedudukan pada masa kecederaan babak kedua, namun ia sudah terlambat buat Gergasi Merah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Sementara itu, perancang ATM, Bruno Martelotto mahu menjadikan kemenangan tersebut sebagai tonik semangat ketika berdepan Johor di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor malam esok.

"Kami telah melupakan kekecewaan apabila tumpas kepada Sime Darby dalam aksi pembuka tirai kumpulan tempoh hari.

"Saya gembira apabila kami berjaya mendapatkan tiga mata penuh memandangkan ia satu perlawanan yang sukar ketika menentang Selangor," kata Martelotto.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan