Sabtu, 6 Julai 2013

Selangor melayakkan diri ke Piala AFC 2014

PEMAIN-PEMAIN Selangor meraikan kejayaan mereka melayakkan diri ke saingan Piala AFC 2014 selepas seri 1-1 dengan Johor DT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.


PENYERANG import Selangor, Francis Forkey Doe memastikan pasukan itu beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan selepas meledak gol penyamaan ketika seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Lebih manis, pemain kelahiran Liberia itu membantu skuad Gergasi Merah menamatkan kempen Liga Super musim ini dengan mengekalkan kedudukan di tangga kedua liga, manakala Harimau Selatan berada di tangga ketiga berdasarkan perbezaan jaringan meskipun berkongsi 40 mata dengan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

Pada aksi tersebut, penyerang import, Leonel Nunez terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan menerusi jaringannya pada minit ke-22.

Selangor kembali bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Forkey Doe pada minit ke-51.

Harimau Selatan yang terdesak untuk memburu gol kemenangan, akhirnya terpaksa akur selepas gagal menembusi benteng pertahanan Selangor apabila keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

DI Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, impian Felda United untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super tidak kesampaian meskipun berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan.
Ia gara-gara T-Team kekal berada di tangga ke-18 liga selepas berjaya mengikat Terengganu 2-2 semalam.

Felda terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain veteran, Rudie Ramli seawal minit ke-16.
Eddy Helmi Abdul Manan mengikat kedudukan dengan menjaringkan gol penyamaan buat pasukan pelawat pada minit ke-52.

Begitupun, Rudie sekali lagi menjadi tumpuan apabila meledak gol kemenangan Felda United pada masa kecederaan.

Felda secara rasmi kini menyertai Negeri Sembilan yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan.

DI Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kejayaan T-Team mengikat Terengganu 2-2, sekali gus mengekalkan kedudukan pasukan berstatus kelab itu beraksi di kancah Liga Super musim depan.

Penyerang import skuad The Titans, Damir Ibric membuka jaringan pada minit ke-13 namun pemain Terengganu, Nasril Izzat Jalil menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Mohd. Fakhrurazi Musa kembali meletakkan Skuad Penyu di depan menerusi jaringannya pada minit ke-51, namun Ahmad Syamim Yahaya memastikan T-Team terus kekal dalam kempen Liga Super dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-60.

DI Stadium Shah Alam, empat gol daripada penyerang import Selangor PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh belum cukup untuk menjamin kebangkitan pasukannya selepas tewas 4-5 kepada Pahang.
Skuad pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd. Amirul Hadi Zainal dan R. Gopinathan pada minit ke-11 dan 20.

Ronaldinho berkerja keras untuk mengurangkan defisit jaringan dan hasilnya, penyerang Liberia itu berjaya menjaringkan gol pertama PKNS pada minit ke-34.

Namun, penyerang import Pahang, Martias Conti terus meletakkan skuad Tok Gajah dalam keadaan selesa dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-44.

Bersambung di babak kedua, Fauzi Roslan menjaringkan gol keempat pada minit ke- 49 sebelum Pahang 'dihadiahkan' satu jaringan sendiri dari pemain PKNS, Alyy Imran Samarkhan (m-54).

PKNS tidak menyerah kalah apabila Ronaldinho berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi tiga jaringan pada minit ke-70, 78 dan masa kecederaan, namun keputusan 4-5 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.

DI Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menundukkan juara Liga Super, Lions XII 2-0 menerusi jaringan kapten, Mohd. Bahdri Mohd. Radzi dan Dickson Nwakaeme pada minit kelima dan 59.

DI Stadium Perak, Ipoh, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tewas kepada Perak 0-1 hasil jaringan tunggal penyerang import Seladang, Paulo Rangel.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan