Selasa, 13 Ogos 2013

Shukor laung amaran awal



SHUKOR menjangkakan Selangor akan berdepan laluan sukar dalam menjayakan 'Misi 33' pada kempen Piala Malaysia 2013.


PEMAIN tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh mengakui yang pasukan itu akan berdepan laluan sukar dalam menjayakan ‘Misi 33’ pada kempen Piala Malaysia 2013.

Begitupun Shukor berpendapat, misi tersebut tidak mustahil kerana skuad Gergasi Merah kini sudah tidak sabar untuk menamatkan kemarau trofi sejak 2010.

Selangor muncul sebagai pasukan pilihan selepas diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby dan Johor dalam aksi Kumpulan A.

Bekas pemain Terengganu itu berkata, dia menuntut rakan-rakan sepasukan supaya tidak ‘terpedaya’ dengan status sebagai pasukan pilihan.

Sebaliknya Shukor menegaskan, Selangor harus memberikan seratus peratus komitmen pada setiap perlawanan Piala Malaysia dalam usaha memburu gelaran juara pada peringkat kumpulan.

“‘Misi 33’ sangat sukar tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Kami harus memiliki keyakinan meskipun sedar jika kita tengok Selangor bukan berada dalam kumpulan mudah dalam Piala Malaysia.

“ATM merupakan naib juara Piala Malaysia musim lalu dan kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Johor dan Sime Darby yang berjaya naik pangkat beraksi dalam Liga Super musim depan.
“Apa pun, kami sudah bersedia untuk menempuhi perlawanan ini. Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, Selangor sudah bersedia untuk menamatkan kemarau trofi,” kata Shukor ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah pemain itu, dia menganggap saingan Piala Malaysia kali ini lebih sukar jika dibandingkan dengan edisi lalu.

Jelasnya, setiap pasukan memiliki kelebihan tersendiri dan dia berharap pasukannya dapat menjayakan perancangan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pada setiap perlawanan akan datang.

“Setiap pasukan idamkan trofi paling keramat ini. Sudah tentu mereka akan memberi- kan tentangan yang hebat kepada pasukan lawan kerana kesemua 14 pasukan bertanding mahu muncul sebagai juara baharu.

“Kami akan melaksanakan tugas dengan baik. Yang paling mustahak adalah sentiasa mendengar arahan jurulatih,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan