Khamis, 20 Jun 2013

Laluan berduri menanti Selangor

Irfan Bakti 
 
KUALA LUMPUR - Turun tanpa kelibat awang import, Francis Forkey Doe, Selangor dijangka berdepan laluan berduri untuk cuba mencari tiga mata ketika bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan ketumpulan jentera serangan pasti menjadi kebimbangan pengendalinya, Irfan Bakti.

Apa tidaknya, lapan daripada 22 jaringan yang terhasil daripada penyerang kebangsaan Liberia ini dalam saingan Liga Super sudah cukup untuk menggambarkan Selangor pasti akan terasa ketiadaan Forkey Doe yang digantung satu perlawanan.

Situasi itu bagaimanapun masih tidak mencemaskan Irfan yang tetap yakin kemampuan para pemain terutamanya enam tonggak Harimau Malaya di samping bersedia memberikan ruang kepada Afiq Azmi berada dalam kesebelasan utama.

"Memang sudah sah Forkey Doe tidak boleh bermain pada perlawanan esok (hari ini) dan situasi ini sedikit menyukarkan kami tetapi dalam masa sama saya berasa gembira kerana tiada mana-mana pemain kebangsaan mengalami kecederaan.

"Ketiadaan Forkey Doe membuatkan saya terpaksa memilih pemain lain untuk diturunkan dan Afiq Azmi mungkin menjadi pilihan saya berbanding Ramzul (Zahini)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya mengenai kelebihan bekas penyerang Kuala Lumpur dan Kelantan berkenaan, Irfan menjelaskan Afiq sebenarnya mempunyai potensi yang boleh diserlahkan jika kelebihan fizikalnya dijadikan sandaran.

"Afiq merupakan seorang pemain yang ada ketinggian sesuai sebagai penyerang malahan saya nampak dia ada kelebihan tersendiri sebagai penyerang.

"Bukan Ramzul tidak bagus namun dalam masa kini Afiq nampak cukup bersedia untuk diturunkan dan saya yakin dia boleh menggalas kekosongan yang ditinggalkan oleh Forkey Doe," katanya.
Sedar peluang untuk mencabar kejuaraan suram, Irfan mensasarkan tiga teratas sebagai impian paling realistik.

"Jika kami mahu berada antara tiga pasukan terbaik, kemenangan ke atas ATM adalah wajib supaya kami boleh menyamai kedudukan mata (33 mata) yang sama dengan mereka.," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan