TIGA beregu lelaki negara terpaksa akur apabila dijangka bertemu
antara satu sama lain dalam laluan ke pentas final pada Kejohanan
Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2013.
Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF)
semalam, beregu lelaki utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akan
berdepan rakan senegara, Goh V Shem-Lim Khim Wah pada pusingan kedua
jika kedua-dua pasangan tersebut melepasi pusingan awal.
Kien Keat-Boon Heong akan menentang beregu Indonesia, Yonathan
Suryatama Dasuki-Hendra Gunawan pada pusingan pertama manakala V
Shem-Khim Wah membuka tirai berdepan Rasmus Bonde-Mads Conrad-Petersen
dari Denmark.
Salah satu daripada mereka akan berdepan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong
di peringkat suku akhir yang turut dijangka mampu meloloskan diri dalam
kelompok lapan terbaik.
"Ini bukan undian yang baik untuk beregu lelaki negara. Mereka terpaksa bertemu antara satu sama lain di peringkat awal.
"Saya harap, mereka akan mempamerkan aksi terbaik masing-masing.
Beregu mana lebih bagus, merekalah yang akan ke peringkat seterusnya,"
kata ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her.
Bagaimanapun, Kim Her berkata, undian kali ini dilihat memberi
kelebihan kepada Kien Keat-Boon Heong untuk menamatkan kemarau kejuaraan
yang dialami mereka sejak 2010.
"Bukan sahaja Terbuka Malaysia tetapi pada Terbuka Korea Selatan juga
Kien Keat-Boon Heong mendapat undian yang baik. Kini, segala-galanya
terpulang kepada mereka untuk bergelar juara.
"Saya tidak mahu terlalu meletakkan harapan yang tinggi kerana fokus
utama mereka tahun ini adalah Seluruh England, Kejohanan Dunia dan Piala
Sudirman," kata Kim Her.
Dua lagi beregu negara turut menggalas cabaran pada Terbuka Malaysia
kali ini iaitu Nelson Wei Keat-Teo Ee Yi, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han
selain beregu profesional yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala
Lumpur, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari.
Sementara itu, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang diletakkan
sebagai pilihan pertama dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi
pusingan pertama menentang pemain Denmark, Viktor Axelsen.
Juara Terbuka Perancis tahun lalu, Liew Daren akan menentang pemain
India, Ajay Jayaram manakala Chong Wei Feng berdepan tugas sukar apabila
menentang pilihan kedua, Kenichi Tago dari Jepun.
Perseorangan muda negara, Mohd. Arif Abdul Latif akan bertemu pemain berpengalaman Indonesia, Sony Dwi Kumncoro.
Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tampil
sebagai pilihan pertama akan membuka tirai saingan menentang Sudket
Prapakamol-Duanganong Aroonkesorn dari Thailand.
Terbuka Malaysia akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 15 hingga 20 Januari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan