Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
KUALA LUMPUR - Hati mana yang tidak luluh apabila mengetahui tidak dapat bermain di pentas akhir Piala FA.
Namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh nadi pertahanan Johor
Darul Takzim, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak yang sekadar menjadi
penonton pada final Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Walaupun telah membuat rayuan terhadap penggantungan dua perlawanan
ekoran kad merah yang diterimanya semasa menentang Lions XII di Stadium
Jalan Besar, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
yang dipengerusikan Datuk Taufek Razak Selasa lalu menegaskan keputusan
pengadil muktamad dan tidak boleh dipinda.
Jelas Aidil, dia tidak boleh menggambarkan betapa kecewanya kerana tidak dapat beraksi dalam perlawanan akhir.
Namun dia meletakkan harapan yang tinggi agar rakan sepasukannya
mampu membawa pulang trofi sulung kepada Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
''Apabila dapat tahu rayuan saya ditolak, saya cukup kecewa kerana
impian saya mahu mahu membantu Johor DT di perlawanan akhir tidak
tercapai.
"Namun dalam bola sepak ia adalah permainan berpasukan dan saya yakin
dengan kebijaksanaan jurulatih untuk merencanakan taktikal.
''Sesiapa sahaja yang menjadi pengganti saya, saya yakin dia boleh
bermain dan memikul tanggungjawab yang diberikan pada pentas akhir bagi
membantu kemenangan Harimau Selatan.
''Sekurang-kurangnya saya bersyukur kerana berjaya membawa Johor DT
layak ke perlawanan akhir Piala FA dan itu sahaja saya boleh bantu
kepada pasukan," katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Aidil pernah beraksi pada perlawanan akhir Piala FA 2010 semasa
bersama Negeri Sembilan dalam aksi yang menyaksikan skud Hoben Jang
Hoben menang melalui sepakan penalti ke atas Kedah.
Namun, kehadiran semula ketua pasukan, Kamarul Afiq Kamaruddin yang
baru pulih daripada kecederaan tepat pada masanya selepas dia beraksi
pada perlawanan menentang Felda United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, Selasa lalu.
"Kehadiran semula Kamarul Afiq cukup melegakan kerana dia mampu beraksi dengan baik.
"Jadi ketiadaan saya mungkin tidak memberikan masalah besar di
bahagian pertahanan kerana dia merupakan seorang pemain yang baik.
''Walaupun pengalaman bermain di perlawanan akhir mungkin menjadi
sedikit masalah kerana dia tidak pernah beraksi di tahap sebegini,
tetapi saya rasa dia boleh tangani dengan baik, begitu juga dengan
pemain lain," katanya.
Selain Kamarul Afiq yang dijangka hampir pasti mengisi kesebelasan
utama, pemain yang menjadi pilihan untuk digandingkan bersama bekas
pemain Sime Darby itu di bahagian pertahanan tengah adalah Ahmad
Tharmini Saiban atau Mohd. Muslim Ahmad.
Aidil sempat berpesan kepada rakan sepasukannya agar mampu menamatkan
penantian 15 tahun kemarau kejuaraan Johor dengan memenangi Piala FA
sebagai hadiah buat rakyat Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan