LEBIH 1,000 penyokong setia Johor Darul Takzim (JDT) kecewa apabila
gagal mendapatkan tiket final Piala FA Sabtu ini kerana tiada sebarang
penjualan tiket di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.
Situasi tersebut berbeza dengan keadaan yang berlaku di Kota Bharu,
Kelantan kelmarin apabila tiket untuk aksi final Sabtu ini habis dijual
dalam tempoh 10 minit.
Difahamkan, penyokong Johor DT telah hadir ke stadium seawal pukul 6
pagi semalam, namun mereka terpaksa pulang hampa selepas dimaklumkan
tiket hanya akan mula dijual hari ini.
Para penyokong setia Harimau Selatan mendakwa, maklumat mengenai
penjualan tiket itu telah dipaparkan pada skrin besar di stadium
berkenaan ketika Johor DT menentang Felda United pada aksi Liga Super
malam kelmarin.
Seorang penyokong Johor DT, Mohd. Nazri Abu Bakar, 35, berkata,
situasi tersebut jelas mengecewakannya termasuk penyokong lain
memandangkan mereka mendapat maklumat yang bercanggah tentang penjualan
tiket.
"Saya berasa kecewa dan marah sebab tidak dapat membeli tiket dan
tiada siapa yang tampil untuk menjelaskan keadaan sebenar," kata Mohd.
Nazri.
Menurutnya, tindakan untuk mendapatkan tiket dengan kadar segera
penting kerana setiap penyokong hanya boleh membeli dua keping tiket.
"Kalau tidak dapat beli juga tiket esok (hari ini), sudah pasti saya
kecewa kerana sudah terlalu lama kami menunggu pasukan kebanggaan kami
ini beraksi di pentas final," katanya dengan nada sedih.
Perasaan yang sama dikongsi Mohd. Hafiz Zainal Abidin, 21, yang
sepatutnya membeli tiket untuk 44 orang penyokong Johor DT yang akan
menaiki bas ke Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
Mohd. Hafiz berkata, dia berharap tiket tersebut dapat dijual dengan
kuantiti yang lebih banyak memandangkan ramai penyokong akan pergi
menyaksikan perlawanan akhir itu menggunakan bas.
"Saya mewakili kawan-kawan saya untuk mendapatkan tiket, tetapi
difahamkan seorang hanya dibenarkan membeli dua tiket sahaja, jadi saya
berharap agar tiket yang dijual esok (hari ini) benar-benar mencukupi,"
rayunya.
Sementara itu, Samsul Akmal Buniami, 36, berkata, seawal pukul 5 pagi
lagi dia sudah bertolak dari Kluang dengan harapan tidak terlepas untuk
membeli tiket.
"Bukan saya seorang sahaja, malah ramai lagi yang datang dari jauh semata-mata untuk membeli tiket.
"Saya harap pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini, tidak mengulangi kesilapan seperti ini pada masa hadapan," katanya.
Kehadiran beberapa anggota polis berjaya mengawal keadaan serta tiada
insiden tidak diingini berlaku dan kesemua penyokong mula bersurai
kira-kira pukul 10.30 pagi.
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) masing-masingnya diperuntukkan 30,000 keping tiket bagi
aksi final Piala FA kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan