Oleh KHAIRI MOHAMAD
|
SEJAK lima tahun kebelakangan ini, Kelantan antara pasukan yang sering mewarnai pentas final Piala Malaysia mahupun Piala FA.
Namun, apa yang cukup mengecewakan apabila setiap kali Kelantan
berjaya menjejakkan kaki ke pentas final, timbul masalah tiket untuk
para penyokong The Red Warriors.
Apa yang dipersoalkan mereka ialah cara penjualan atau pengagihan tiket daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Masalah yang sama berulang setiap tahun sehingga menimbulkan rasa
tidak puas hati dan kecewa dalam kalangan penyokong setia Kelantan.
Terbaru, ribuan penyokong Kelantan terpaksa pulang hampa apabila
gagal membeli tiket aksi final Piala FA yang menemukan Kelantan dan
Johor Darul Takzim (Johor DT) Sabtu ini.
Kebanyakan penyokong The Red Warriors mula membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu seawal pukul 6 pagi, tiga jam sebelum kaunter tiket dibuka semalam.
Namun, kurang 10 minit selepas kaunter dibuka, mereka dikejutkan
dengan pengumuman oleh pihak KAFA bahawa 30,000 keping tiket yang telah
diperuntukkan telah habis dijual.
Lebih memburukkan keadaan, tindakan KAFA menjual tiket final Piala FA
bersekali dengan tiket aksi Liga Super menentang Pahang yang
berlangsung malam tadi juga menjadikan keadaan bertambah rumit.
Disebabkan tidak berpuas hati dan berang dengan tindakan KAFA itu,
berlaku pertikaman lidah antara penyokong dan pegawai yang bertugas di
stadium berkenaan.
Keadaan semakin panas dan tidak terkawal apabila segelintir penyokong bertindak liar memecah dan merosakkan pintu utama stadium.
Difahamkan, para penyokong lebih ghairah untuk mendapatkan tiket
final Piala FA berbanding tiket aksi Liga Super antara Kelantan dan
Pahang.
Usaha Kosmo! untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak KAFA
tidak berjaya apabila Bendahari badan induk tersebut, Nik Aminaldin Nik
Jaafar yang bertanggungjawab dalam penjualan tiket itu gagal dihubungi.
Sementara itu, lima penyokong bola sepak Kelantan yang tidak berpuas
hati dengan tindakan KAFA mengagihkan tiket tersebut telah membuat
laporan polis di Balai Polis Kota Bharu.
Salah seorang daripada mereka, Mohd. Asri Saufi, 43, memberitahu, laporan berkenaan dibuat kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Katanya, beliau dan ribuan penyokong yang lain berasa tertipu dengan
tindakan KAFA yang menjual tiket berkenaan tidak seperti yang
dijanjikan.
"Para penyokong mahu tahu ke mana tiket-tiket ini pergi kerana
mustahil dengan sejumlah kuota (30,000 keping tiket) yang diberikan FAM
(Persatuan Bola Sepak Malaysia) boleh habis dijual dalam tempoh 10
minit.
"Kami juga hendak tahu cara mana yang digunakan KAFA untuk menjual tiket sedangkan ia perlu dijual di kaunter.
"Kita minta pihak polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan
tegas terhadap 'ulat-ulat' tiket yang berkeliaran di sekitar stadium
menjual tiket dengan harga yang cukup melampau sehingga RM80 untuk
sekeping tiket," ujarnya.
Terdahulu, FAM mengumumkan sebanyak 87,000 tiket diperuntukkan untuk aksi final Piala FA tersebut.
30,000 keping tiket masing-masing diagihkan kepada KAFA dan Persatuan
Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan tiket berharga RM40 itu boleh dijual
mulai semalam.
Baki 27,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula 28 Jun sehingga hari perlawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan