|
KETIKA ini lagu berjudul Lelaki nyanyian dan hasil ciptaan oleh
penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna semakin kerap berkumandang di
stesen-stesen radio tempatan serta menjadi siulan ramai.
Di sebalik populariti yang diraih lagu berkenaan, sebenarnya timbul sedikit persoalan.
Ini kerana apabila menghayati setiap lirik yang dihasilkan olehnya seolah- olah seperti dituju kepada seseorang.
Bagaimanapun, Yuna menerusi sidang video Skype bersempena konsert
sulungnya di Istana Budaya menjelaskan bahawa Lelaki lebih bersifat umum
dan langsung tidak ditujukan kepada bekas kekasihnya, Qi Razali.
“Kalau ada yang menyangka lagu Lelaki saya tujukan kepada Qi,
ternyata ia tidak benar sama sekali. Ini kerana ia sudah dihasilkan
sejak lebih setahun yang lalu.
“Ketika saya mencipta lagu berkenaan, kami masih lagi menjalinkan
hubungan percintaan, malah Qi turut serta menemani saya ketika ia
dirakamkan di studio,” ujarnya yang kini melebarkan kariernya dengan
berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Biarpun lagu itu dilihat seolah-olah seperti memarahi lelaki, Yuna
menyatakan bahawa ia disampaikan dalam bentuk yang lebih humor dan dia
gembira apabila ia semakin diminati ramai.
Pada masa yang sama, Yuna turut diminta mengulas mengenai hubungannya
dengan jejaka Inggeris bernama Julian Schratter memandangkan gambar
mesra mereka berdua sering dimuat naik di laman Instagram. Dia
bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenainya.
Menurutnya, ketika ini dia mahu memberi tumpuan kepada kerjaya
nyanyiannya di Amerika Syarikat terlebih dahulu dan kurang selesa
apabila kisah peribadinya menjadi terlalu sensasi.
“Kalau diminta komen saya mengenai hubungan dengan Julian, rasanya
jawapan yang diberikan ini pastinya agak klise. Namun begitu, saya akui
kami masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
“Jadi, saya minta maaf kerana tidak dapat bercerita lanjut kerana ia
cukup peribadi untuk dikongsi. Lagipun saya mengambil pengajaran
terhadap kegagalan dalam percintaan yang dialami sebelum ini,” ujarnya.
Berkenaan dengan kerjayanya di Amerika Syarikat pula, Yuna
memberitahu, ketika ini dia sedang dalam proses menghasilkan album
keduanya di negara tersebut yang dijangka berada di pasaran pada bulan
Oktober depan.
“Proses penerbitan album baharu ini masih lagi berjalan dan sebanyak
20 buah lagu telah saya pilih. Namun, hanya 10 lagu yang disenarai
pendek untuk dimuatkan dalam album berkenaan,” jelasnya.
Ujar Yuna, biarpun jadual nyanyiannya sekarang terlalu padat
memandangkan dia akan mengadakan konsert di Istana Budaya pada bulan
September depan, dia yakin albumnya itu dapat disiapkan mengikut jadual
yang ditetapkan.
Konsert sulung
Ketika sedang berusaha mengembangkan karier nyanyiannya di negara
yang digelar Uncle Sam itu, Yuna bakal mengadakan konsert sulungnya di
Istana Budaya pada 6 hingga 8 September depan.
Jelas Yuna, dia menganggap konsert berkenaan sebagai suatu
penghormatan buat dirinya apabila dapat menjayakan persembahan di sebuah
tempat yang cukup berprestij serta diiringi oleh Orkestra Seni
Kebangsaan (OSK).
“Sudah tujuh tahun saya terbabit dalam bidang nyanyian, pastinya
mengadakan persembahan di Istana Budaya merupakan suatu impian yang
sudah lama terpendam.
“Saya berterima kasih kepada pihak Istana Budaya dengan peluang yang
telah diberikan ini. Saya berharap agar akan ada lebih ramai lagi
penyanyi muda seperti saya dapat beraksi di pentas ini pada masa akan
datang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari
Shaarani berkata, hasrat untuk membawa Yuna sudah lama dirancang dan
kini ia baru dapat dilaksanakan.
Ujarnya, beliau telah bertemu sendiri dengan bapa penyanyi itu semasa
Yuna menerima anugerah Ikon Seni Budaya Negara sempena Hari Kemerdekaan
Malaysia ke-55 di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.
“Hasil perbincangan yang dilakukan akhirnya ayah Yuna telah
memberikan persetujuan dan sudah tentu pihak Istana Budaya begitu teruja
kerana dapat membawa seorang penyanyi yang hebat,” jelasnya.
Menurut Juhari, pemilihan Yuna dibuat berdasarkan pencapaian yang
telah diraihnya sepanjang bergelar penyanyi serta popularitinya yang
semakin melonjak, terutamanya dalam kalangan penuntut universiti di
Amerika Syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan