LONDON - Liverpool dilaporkan memberi arahan kepada Luis Suarez
supaya membuat permohonan rasmi sekiranya berhasrat untuk meninggalkan
skuad The Reds.
Situasi itu bakal menamatkan spekulasi mengenai masa depan penyerang Uruguay itu.
Suarez yang ketika ini beraksi pada kempen Piala Konfederasi 2013 di
Brazil memberikan bayangan untuk meninggalkan Anfield, Ogos depan.
Namun, sehingga kini dia masih belum memberitahu pihak pengurusan Liverpool.
Sekiranya Suarez mahu berhijrah ke Real Madrid, Liverpool mahu dia
mengemukakan permohonan rasmi bagi melepaskannya dan kelab itu juga
dikatakan bersedia meletakkan harga sekitar £50 juta (RM247 juta).
Begitupun, setakat ini masih tiada tawaran rasmi daripada Real ke atas pemain berusia 26 tahun itu.
Liverpool juga sedang merangka strategi bagi manghadapi kempen musim depan walaupun Suarez mungkin tidak lagi bersama mereka.
Namun, secara realistiknya, mereka tahu sesuatu yang sukar untuk
mengekalkannya di Anfield selepas apa yang berlaku sejak beberapa bulan
lepas.
Atas sebab itu, skuad The Reds mahu isu ini ditamatkan secepat
mungkin supaya ia tidak menjejaskan kepentingan mana-mana pihak
sekiranya ia masih berlarutan sehingga kempen baharu Liga Perdana
England.
Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers yang baharu sahaja membeli pemain
pertahanan Kolo Toure, berhasrat membawa masuk seorang lagi penyerang
dan pemain Celta Vigo, Iago Aspas dijangka melengkapkan perpindahannya
ke Anfield dalam tempoh terdekat.
Pemain sayap Sevilla, Luis Alberto juga diramal mengikut jejak
langkah Aspas, manakala perbincangan ke atas penjaga gol Sunderland,
Simon Mignolet juga masih berlangsung.
Pembelian penjaga gol Belgium yang berharga £10 juta (RM49.4 juta) itu dijangka selesai hujung minggu ini.
Perpindahan Andy Carrol juga dijangka selesai hujung minggu ini.
Penyerang England itu bakal menyertai West Ham dengan harga £15 juta (RM74.2 juta). - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan