Ahad, 16 Jun 2013

Amaran awal Mourinho


GELAGAT Mourinho pada sidang akhbar pertamanya selepas dilantik membimbing Chelsea di Stamford Bridge pada 10 Jun lalu.



LONDON - Jose Mourinho tidak akan teragak-agak menggunakan kuasanya sebagai pengendali Chelsea jika ada mana-mana pemain yang bertindak keterlaluan.

Ketika ini, beberapa pemain The Blues termasuk kapten, John Terry selain Ashley Cole dan Eden Hazard sering diselubungi kontroversi.

Justeru, Mourinho mahu skuad The Blues bebas daripada sebarang kontroversi sepanjang skuad tersebut dibawah kendaliannya.

"Ada sesuatu yang ingin saya katakan kepada pemain menjelang pertemuan pada 10 Julai depan.
"Jika kamu seorang pemain yang profesional, kamu tidak sepatutnya mementingkan diri sendiri.
"Pemain perlu memberikan yang terbaik untuk kelab. Jika pemain berjaya melakukan perkara itu, saya percaya kami akan memiliki hubungan yang baik," kata Mourinho.

Mourinho yang kembali menerajui Chelsea buat kali kedua memberitahu, beliau tidak teragak-agak menyingkirkan pemain yang tidak mendengar kata.

"Jika pemain tidak mempedulikan kelab, kami akan ditimpa malapetaka.

"Saya tidak teragak-agak menyingkirkan mana-mana pemain yang bertindak sedemikian," katanya.
Pada masa sama, Mourinho juga mempertahankan keputusannya kembali menerajui Chelsea.

"Lihat sahaja Jupp Heynckes. Dia hanya berjaya meraih gelaran trebel ketika kembali ke Bayern Munich buat kali ketiga.

"Saya mengenali Chelsea dan mereka juga mengenali saya.

"Bagi saya, ia satu kelebihan buat kedua-dua pihak memburu kejuaraan. Itu yang lebih penting," kata Mourinho. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan