Ahad, 23 Jun 2013

Rooney dijangka kekal di United



SENTUHAN Rooney (kanan) masih berbisa dan ini dibuktikannya apabila menjaringkan gol cantik ketika bertemu Brazil dalam aksi persahabatan.


LONDON - Wayne Rooney dikhabarkan telah membuat keputusan untuk terus kekal bersama Manchester United pada musim depan.
Penyerang England itu akan berjumpa David Moyes untuk memberitahu bahawa dia mahu terus berada di Old Trafford.

Rooney dan pengurus baharu United, Moyes dijadual pulang daripada bercuti minggu ini dan kedua-duanya akan terus berjumpa bagi menentukan masa depan penyerang sensasi itu bersama The Red Devils.

Antara alasan Rooney ialah dia percaya ketiadaan Alex Ferguson yang telah bersara akan memberinya satu peluang baharu.

Rooney telah menghabiskan masa selama sembilan tahun bersama kelab juara Liga Perdana England itu dan dia sebelum ini telah menyuarakan hasratnya untuk berpindah kepada Ferguson pada hujung musim lepas.

Dia dikatakan kecewa setelah kerap kali beraksi di posisi berbeza dan bukan sebagai penyerang tunggal United berikutan kehadiran Robin van Persie di kelab berkenaan.

Moyes pula akan berdepan ujian paling besar dalam eranya di United sama ada mahu menerima Rooney semula atau bersetuju dengan pendapat Ferguson supaya menjualnya bagi mendapat keuntungan.

Pemain berusia 28 tahun itu masih memiliki baki dua tahun dalam kontraknya di Old Trafford.
Moyes yang akan memulakan tugasnya secara rasmi hari ini telah memberitahu bahawa masa depan Rooney adalah keutamaannya buat masa ini.

Chelsea dan Arsenal juga sudah bersedia menyambar Rooney seandainya Moyes tidak lagi memerlukan khidmat penyerang England tersebut. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan