Isnin, 17 Jun 2013

PSG 'umpan' Bale



BALE (kiri) menjadi sasaran PSG untuk memujuk Villas-Boas berpindah ke kelab mewah Perancis itu.


LONDON - Paris Saint Germain (PSG) dilaporkan mengemukakan tawaran untuk membeli Gareth Bale bagi meyakinkan Andre Villas-Boas berpindah ke kelab mewah Perancis itu.

PSG cuba menggunakan Bale bagi memujuk Villas-Boas selepas pengurus Tottenham Hotspur itu menolak tawaran awal daripada kelab yang dimiliki ahli perniagaan dari Qatar itu.

Begitupun, PSG masih berazam untuk mendapatkan pengurus berusia 35 tahun itu dan mereka cuba melakukan perpindahan tertinggi dunia dengan harga £85 juta (RM418.5 juta) bagi mendapatkan Bale sebagai antara syarat perjanjian.

Tonggak pertahanan Chelsea, David Luiz turut berada dalam senarai pemain yang akan dibeli PSG.
Villas-Boas berjaya membimbing Spurs mencatat rekod mata tertinggi kelab tersebut dalam kempen Liga Perdana England musim lepas, namun gagal melangkah ke saingan Liga Juara-Juara.

Sekiranya Villas-Boas dan Bale menyertai PSG, ia menjadi satu tamparan hebat buat kelab yang berpangkalan di White Hart Lane.

Villas-Boas kini muncul pilihan utama untuk membimbing PSG selepas wakil kelab itu turut dilihat berbincang dengan Michael Laudrup dan Guus Hiddink.

Pengurus kelahiran Portugal itu mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Spurs dengan harga klausa pelepasan £10 juta (RM49.3 juta).

Jurulatih PSG ketika ini, Carlo Ancelotti pula bakal diumumkan sebagai jurulatih baharu Real Madrid dalam tempoh terdekat. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan